///
Note: Possibly no NewsKini update until June 2024

Headlines : Mnow Bm News   Page 1    



Kerajaan pertimbang kasino dalam usaha pulihkan Forest City, kata laporan .. - 25/04 2:46 pm

# Kerajaan pertimbang kasino dalam usaha pulihkan Forest City, kata laporan Laporan berkata PM Anwar Ibrahim dan dua taikun baru-baru ini mengadakan perbincangan mengenai idea itu baru-baru ini. Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah bertemu dengan dua taikun terkemuka minggu lalu untuk membincangkan rancangan membina sebuah kasino di Forest City, lapor Bloomberg memetik sumber. "Anwar, pegawai kanan kerajaan dan beberapa ahli perniagaan mengadakan mesyuarat makan tengah hari mengenai kemungkinan ..

meluluskan lesen untuk kasino kedua Malaysia," kata laporan itu. Ia berkata selain bos Berjaya, Vincent Tan dan bos Genting Lim Kok Thay, turut hadir ialah perwakilan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Laporan itu menambah, rundingan masih di peringkat awal, sementara tidak jelas sejauh mana kerajaan serius dengan cadangan meluluskan satu lagi kasino selepas Genting Highlands. Bagaimanapun, Bloomberg memetik seorang jurucakap Berjaya yang menafikan sebarang pengetahuan mengenai penglibatan syarikat itu dalam membangunkan sebuah kasino di Forest City, manakala Pejabat Perdana Menteri dan Istana Negara tidak membalas pertanyaan. Laporan itu muncul lapan bulan selepas Anwar mengumumkan penubuhan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City untuk meningkatkan ekonomi Johor dan menggiatkan semula projek mega itu yang kini dilabelkan bandar hantu. Minggu lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata perbincangan mengenai SFZ diadakan dalam mesyuarat dipengerusikan oleh Anwar di Forest City. "Banyak perkara telah disentuh, antaranya soal kedudukan terkini kerangka polisi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan SFZ, prospek pelabur-pelabur yang telah menyatakan minat, lokasi-lokasi pilihan, sektor-sektor perniagaan, juga insentif serta pakej-pakej pelaburan yang sesuai untuk ditawarkan," Onn dipetik sebagai berkata. Laporan Bloomberg berkata pembinaan sebuah kasino akan memberikan nafas baru kepada Forest City yang ditimpa pelbagai masalah menarik pembeli dari China, selepas tindakan Beijing menghalang pengaliran keluar dana, memberi kesan terhadap rakyatnya yang mahu membeli hartanah di luar negara, di samping pandemik Covid-19. Projek itu ditentang hebat oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, dan sejurus selepas kembali ke tampuk kuasa pada 2018, mengumumkan kerajaan akan menghalang warga asing membeli hartanah di sana. "Kami tidak akan memberikan visa untuk orang datang dan tinggal di sana. "Bantahan kami kerana ia dibina untuk orang asing dan bukan rakyat Malaysia. Kebanyakan warga Malaysia tidak mampu membeli hartanah berkenaan," katanya. Forest City dibangunkan sebagai "bandar hijau" yang futuristik di atas empat pulau buatan manusia menerusi usahama antara syarikat China, Country Garden Holdings dengan syarikat milik sultan Johor. Bantahan terhadap Forest City dijadikan antara kempen Mahathir pada pilihan raya umum 2018, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional. Laporan Bloomberg memetik sumber sebagai berkata, ahli keluarga diraja atau "wakil raja yang sah" boleh dijemput untuk menjadi pemegang saham dalam kasino itu. MalaysiaNow telah menghubungi PMO dan pegawai kanan lain untuk mendapatkan maklum balas.





UM dikecam jemput pensyarah pro-Zionis April 24, 2024 9:33 malam Bruce .. - 25/04 7:48 am

Bruce Gilley, yang memuji sejarah penjajahan kuasa Barat, dijemput walaupun beliau terang-terangan menyokong Israel. Tindakan Universiti Malaya menjemput seorang profesor pro-Zionis dari Amerika Syarikat menerima kecaman ramai selepas ucapan beliau menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai penyebar kebencian terhadap Yahudi. Bruce Gilley, profesor sains politik yang pernah menimbulkan kontroversi kerana mendokong tindakan kuasa Barat menjajah negara lain, berkata ..

ahli politik Malaysia mahukan "Holocaust kedua", atau pembunuhan ramai-ramai terhadap bangsa Yahudi. Gilley turut menyerang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. "Ini sikap buruk lama di kalangan ahli politik Malaysia yang mengingatkan kembali kepada nasihat Mahathir supaya belajar daripada Jerman bagaimana cara menghapuskan bangsa Yahudi. Kini, penyampai berita TV menamatkan siaran dengan kata-kata 'Dari Sungai ke Segara' dan 'Israel cuak'," tulisnya di X, mengulas ucapannya mengenai dasar luar Malaysia yang disampaikan pada ceramah anjuran UM semalam. Kirimannya di X yang mengutuk sokongan Malaysia kepada perjuangan Palestin mengundang kecaman yang mempersoalkan pendiriannya, manakala ramai yang mengkritik UM kerana menjemput seorang penceramah pro-Zionis. "Kenyataan tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja tidak benar tetapi menjejaskan kerjaya hos anda di sini," kata Ooi Kok Hin, pengarah eksekutif Bersih. "Tetapi anda tak kisah, kan? Anda sedar sepenuhnya konteks tetapi mengutamakan kepentingan diri sendiri. Nota: Ucapan anda bukan ucaptama. Tak perlu cakap besar semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan," tambahnya. UM difahamkan sedang menyiasat perkara itu, dan membatalkan satu lagi program menampilkan beliau yang dijadualkan esok dan dianjurkan Institute of China Studies, sebuah badan di bawah UM. MalaysiaNow telah cuba menghubungi Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kader. Bekas menteri pengajian tinggi Saifudin Abdullah meminta UM, Zambry dan Wisma Putra untuk memberikan penjelasan. Di media sosial, pengguna X, Rashifa, mempersoalkan bagaimana UM boleh terlepas fakta bahawa Gilley merupakan penyokong tegar Israel. "Saya memang sepatutnya hadir syarahan ini, tetapi saya melihat dia mengibar bendera Israel di halamannya. Hanya memerlukan pencarian latar belakang yang mudah untuk menghalangnya memasuki fakulti. Sungguh memalukan," tulisnya. "Ahli akademik memanglah ahli akademik, tetapi perlu ada garis moraliti juga." Pada tahun 2017, Gilley mencetuskan kemarahan selepas penerbitan makalahnya dalam jurnal Third World Quarterly, di mana beliau mempertahankan sejarah penjajahan kuasa Barat dengan mengatakan adalah keterlaluan untuk mendakwa ia merugikan negara yang dijajah. Gilley antara lain menyeru penjajahan dikembalikan, menyifatkannya sebagai sesuatu yang mendatangkan faedah dan ada keabsahan. Penulisannya itu ditarik balik, manakala 15 ahli sidang pengarang jurnal tersebut meletak jawatan sebagai tanda protes, dan menyelar Gilley kerana gagal memberikan bukti seperti yang diperlukan dalam penulisan akademik. Sementara itu, ucapan Gilley di UM turut dikecam pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz. "Ini benar-benar mengelirukan dan tidak boleh diterima. Kenyataan beliau memberikan gambaran palsu mengenai matlamat Malaysia ke arah keamanan dan sebuah negara Palestin yang merdeka," tulisnya di X. Amira menolak dakwaan Gilley bahawa ahli politik Malaysia menyokong pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi. "Hakikatnya, kerajaan Zionis Israel yang sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai pada masa ini." Amira kemudian mempersoalkan tindakan UM menjemput Gilley. "Institusi akademik harus cermat apabila menjemput penceramah dan pensyarah yang menyebarkan naratif pro-Zionis," katanya. Badan pemikir Institut Iris yang berpangkalan di Kuala Lumpur berkata Gilley menunjukkan beliau jahil mengenai isu dan dasar Malaysia. "Ucapan beliau ialah propaganda naratif Zionis yang diucapkan untuk mempengaruhi pelajar-pelajar di Malaysia," kata pengarah eksekutifnya Syed Ahmad Israa' Syed Ibrahim kepada MalaysiaNow. "Saya difahamkan beliau bukan pakar atau bukan diundang untuk berbicara soal Palestin dan Malaysia. Ini bermakna beliau menyalahguna pentas akademik yang disediakan untuk memanipulasi dan memainkan persepsi serta sentimen yang berbaur fitnah dan mengelirukan pelajar serta khalayak ramai." Ucapan Gilley yang mengkritik mereka yang bersimpati dengan Palestin dibuat di sebalik bantahan anti-Israel besar-besaran oleh pelajar beberapa universiti terkemuka di AS seperti Columbia, Yale dan New York University. Ribuan pelajar menggesa gencatan senjata di Gaza, pemberhentian bantuan ketenteraan Amerika kepada Israel, dan gesaan agar pihak universiti memboikot syarikat yang mendapat keuntungan daripada perang di Gaza, yang setakat ini telah membunuh lebih 30,000 orang awam Palestin.





PH, PN masih impikan sokongan selain pengikut tegar menjelang PRK Kuala .. - 24/04 2:59 pm

# PH, PN masih impikan sokongan selain pengikut tegar menjelang PRK Kuala Kubu Baharu PH dan PN menampilkan komponen mereka yang paling lemah - Amanah dan Gerakan - untuk masing-masing meraih undi Melayu dan bukan Melayu. Walaupun Perikatan Nasional (PN) masih kekal popular di kalangan pengundi Melayu selepas lebih setahun terlepas peluang memimpin kerajaan persekutuan, gabungan itu masih mengharapkan sokongan bukan Melayu kerana dilihat sebagai kunci kemenangan di kerusi di mana pengundi ..

Melayu tidak membentuk majoriti yang besar. Ini termasuk di kerusi negeri Kuala Kubu Baharu, di mana PN akan berdepan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil yang menyaksikan Melayu membentuk sekitar 47% pengundi. Malah, PN yang kerap dilabelkan sebagai parti "Melayu berhaluan kanan" yang ditolak masyarakat bukan Melayu, mengakui kumpulan itu "amat-amat diperlukan". Pada PRK Kuala Kubu Baharu, PN akan menumpukan kawasan Melayu seperti Bandar Utama Batang Kali, Ampang Pecah dan Batu 30. "Tetapi kami tidak akan meninggalkan 18% pengundi India dan 33% pengundi Cina," kata Timbalan Pengarah Pilihan Raya PN untuk PRK itu, Hasnizan Mohd Harun. "Secara tidak langsung kami mahu menguji tahap sokongan bukan Melayu kepada PN pada PRK ini," kata Ahli Parlimen Hulu Selangor itu, yang juga bendahari PAS Selangor, kepada MalaysiaNow. Hasnizan berkata walaupun pengundi Melayu merupakan majoriti di Kuala Kubu Baharu, undi Melayu berpecah berbanding undi bukan Melayu yang lebih tertumpu kepada satu blok. PN menyasarkan 85% pengundi Melayu untuk keluar pada hari mengundi. Pada PRN lepas, peratusan keluar undi kira-kira 70%. **Komponen lemah cuba tarik undi untuk PN dan PH ** Sementara PN bergelut dengan sokongan bukan Melayu, yang sejak lebih sedekad hanya memilih DAP, PH pula masih dilihat sukar diterima masyarakat Melayu, yang sejak pilihan raya umum lalu dilihat beralih kepada PN. Di Kuala Kubu Baharu, usaha menarik sokongan Melayu untuk PH menjadi bertambah sukar apabila ia diletakkan di atas bahu Amanah, parti yang sehingga sekarang dilihat masih bergantung kepada pengundi bukan Melayu. Setakat ini, Amanah sekadar berkata ia mempunyai "strategi" sendiri menarik sokongan Melayu. "Dengan penggemblengan tenaga semua jentera perpaduan dan trend kedamaian, ketenteraman dan keharmonian yang dibawa Kerajaan Perpaduan, saya yakin masyarakat akan mengekalkan trend ini pada PRK kelak," Dzulkefly Ahmad yang merupakan pengarah strategik Amanah dipetik sebagai berkata. Jika PH mempunyai komponen Melayu yang lemah seperti Amanah, PN pula mempunyai komponen bukan Melayu yang lemah, iaitu Gerakan. Sehingga kini, usaha PN menampilkan Gerakan sebagai komponen bukan Melayu gabungan itu masih belum membuahkan hasil. Penganalisis Oh Ei Sun berkata PN dan PH masing-masing memerlukan "tuah" yang banyak jika mahu mendapatkan kepercayaan segmen pengundi yang cuba disasarkan. Bagaimanapun, beliau tidak percaya kaum Cina akan mengundi PN dalam masa terdekat. Tetapi menurutnya, ada kemungkinan ramai penyokong PH tidak keluar mengundi untuk "menghukum" gabungan itu. "Kebanyakan kaum Cina gusar dengan apa yang apa yang mereka anggap sebagai diskriminasi walaupun PH sepatutnya menjadi kerajaan yang reformis," kata Oh. Pada PRN enam negeri tahun lalu, Gerakan hanya berjaya memenangi sebuah kerusi daripada 36 yang ditandinginya. Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum ini tidak menafikan PN masih gagal meraih sokongan bukan Melayu. "Kita harus cari jalan dan ikhtiar supaya bagaimana kita boleh menarik sokongan kaum Cina, India dan lain-lain," kata Muhyiddin pada konvensyen dihadiri wakil-wakil rakyat PN bulan lepas. PRK Kuala Kubu Baharu, kerusi negeri yang terletak di bawah Hulu Selangor, akan diadakan pada 11 Mei ini susulan kematian penyandangnya dari PH, Lee Kee Hiong. Kerusi Parlimen Hulu Selangor bertukar tangan kepada PN pada PRU lepas. Bagaimanapun, PH mampu mengekalkan kemenangannnya di Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 4,119 undi pada PRN 6 negeri yang lalu. Kekalahan PH di kerusi ini akan memberikan kesan besar kepada gabungan kerajaan itu, di sebalik beberapa isu seperti yang penarikan balik subsidi, kenaikan harga petrol, dan kontroversi berterusan tentang pengampunan diraja untuk Najib Razak. Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mencuri tumpuan apabila menyebut amalan "feng shui" yang diguna pakai masyarakat Cina ketika menjelaskan kemasukan projek kerajaan bernilai RM5 juta di kawasan itu. "Bukan semata-mata kerana PRK Kuala Kubu Baharu, kita pilih kawasan ini kerana tempat bertuah. Feng Shui 'Ong', ini tempat baik. Lawatan pertama kena tempat bertuah," kata Nga pada 18 April, dalam kenyataan yang disindir Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mempersoalkan apa kurangnya Muar sekiranya "feng shui" menjadi syarat menabur dana. Menurut Hasnizan, beberapa isu yang menggusarkan kaum Cina di Kuala Kubu Baharu membabitkan hal ekonomi, antaranya peningkatan cukai dan pengenalan e-invoice oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri. "Ramai daripada mereka ialah peniaga dan tidak berpuas hati dengan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari 6% kepada 8%. "Peniaga kecil tidak suka kepada e-invoice yang akan dilaksanakan oleh kerajaan beberapa bulan lagi," katanya. Tambah Hasnizan, kes lepas tanpa bebas membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi turut membuatkan kaum Cina tidak berpuas hati dengan kerajaan.





10 anggota tentera terkorban selepas pesawat bertembung di udara ketika .. - 23/04 3:09 pm

# 10 anggota tentera terkorban selepas pesawat bertembung di udara ketika latihan lintas hormat Insiden itu dipercayai yang terburuk membabitkan pasukan tentera sejak beberapa tahun ini. Sepuluh anggota tentera laut terkorban selepas dua helikopter berlanggar semasa latihan lintas hormat menjelang sambutan Hari Tentera Laut Jumaat ini, dalam kejadian paling buruk membabitkan angkatan tentera sejak beberapa tahun ini. Insiden itu berlaku pada 9.45 pagi tadi membabitkan sebuah helikopter HOM ..

M503-3 dan Fennec M502-6, kedua-duanya berlepas dari Padang Sitiawan. Pesawat HOM terhempas di Stadium TLDM di Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di sebuah kolam renang di Kompleks Sukan TLDM Lumut. Anggota yang terbunuh di dalam pesawat HOM itu termasuk dua leftenan komander iaitu ialah Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin dan Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, di samping Muhammad Firdaus Ramli, Muhammad Faisol Tamadun, dan tiga lagi yang belum dinamakan. Tiga lagi anggota yang terbunuh menaiki pesawat Fennec, iaitu Muhamad Amir Mohamad, Sivasutan Thanjappan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.





Keputusan speaker dinanti di sebalik kebimbangan kerajaan sekali lagi .. - 23/04 3:09 pm

# Keputusan speaker dinanti di sebalik kebimbangan kerajaan sekali lagi ditolak pengundi Melayu Enam pilihan raya kecil bakal diadakan di kawasan majoriti Melayu selepas wakil rakyat berdepan kehilangan kerusi mereka kerana bertindak di luar pendirian parti. Walaupun speaker mempunyai kuasa untuk menentukan status kerusi-kerusi dipegang ahli Bersatu yang berpaling tadah daripada pendirian parti untuk menyokong kerajaan, apa-apa keputusan masih tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, kata ..

bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Harun, ketika blok kerajaan dilihat bakal menerima pukulan di enam pilihan raya kecil di kawasan majoriti Melayu. Azhar yang juga seorang peguam bekata speaker perlu menentukan sama ada telah berlaku kekosongan mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 21 hari, selepas menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Parlimen berhubung kekosongan. "Soalnya di sini ialah sama ada ahli-ahli tersebut telah gugur keahlian parti yang diwakili mereka semasa Pilihan Raya Ke-15 lalu," Azhar yang menjadi speaker dari Julai 2020 sehingga PRU yang lalu, memberitahu MalaysiaNow. Perkara 49A menyatakan seorang wakil rakyat hilang kerusinya apabila melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti politiknya, atau menyertai parti politik lain sebagai ahli setelah dipilih ke Dewan Rakyat. Selepas tindakan beberapa wakil rakyatnya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim walaupun tanpa meluar parti, Bersatu meminda perlembagaannya di mana mana-mana ahli yang tidak selari dengan pendirian parti akan gugur keahliannya, status yang akan menyebabkan mereka tidak lagi menjadi ahli Dewan. Enam ahli Parlimen dari Bersatu yang bertindak di luar pendirian parti dengan menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar). Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang, Abdul Rashid Asari turut mengumumkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. Azhar berkata, sekiranya keahlian mereka gugur secara automatik sejajar dengan pindaan perlembagaan Bersatu itu, kes mereka akan tertakluk di bawah Perkara 49A(1)(A)(II). Menurut peruntukan itu, mana-mana wakil rakyat yang gugur keahlian partinya akan menyebabkan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker. Menurut Azhar, langkah seterusnya ialah untuk mana-mana ahli Parlimen memberikan notis kepada speaker mengenai dakwaan kekosongan, seperti disebut dalam Perkata 49A(III). Pertanyaan MalaysiaNow sama ada notis sedemikian sudah dihantar kepada speaker masih belum dijawab Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin. Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul juga tidak memberikan sebarang maklum balas. Pada 2022, pentadbiran perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob meluluskan undang-undang anti-lompat parti, sebagai memenuhi perjanjian yang dimeterai dengan Pakatan Harapan (PH). Namun terdapat kelompongan dalam pindaan itu, apabila enam ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar masih kekal dalam blok pembangkang. Situasi itu menyebabkan Bersatu meluluskan pindaan perlembagaannya, yang kemudian diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Setakat semalam, enam ahli Parlimen yang berpaling tadah itu masih belum menerima notis daripada parti mereka, menurut Syed Abu Hussin. MalaysiaNow difahamkan, kelewatan memberi notis kekosongan kerusi kepada speaker merupakan langkah Bersatu memberikan peluang kepada enam wakil rakyatnya untuk kembali ke blok PN. Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata jika mereka masih kekal menyokong perdana menteri, kerusi mereka akan dikosongkan. Syed Abu Hussin, wakil rakyat kelima mengumumkan sokongan kepada Anwar, sebelum ini berkata beliau lebih rela menyokong kerajaan daripada terus bersama Bersatu dan kekal statusnya sebagai ahli Parlimen. Pendirian ini dilihat masih kekal sehingga hari ini. "Kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengosongkan kerusi sekiranya ia kenyataan yang perlu diterima," katanya pada Februari lalu. Bagaimanapun, keyakinan Syed Abu Hussin tidak dikongsi pemerhati, yang berpendapat siri PRK yang bakal diadakan akan memberikan satu lagi tamparan kepada kerajaan campuran PH-BN yang masih bergelut dengan defisit sokongan Melayu. Di Bukit Gantang yang mempunyai 76% pengundi Melayu, Syed Abu Hussin meraih majoriti 12,756 mengalahkan calon dari Umno, Amanah dan Pejuang. Begitu juga di Kuala Kangsar dengan majoriti 70% pengundi Melayu, Iskandar mengalahkan kedua-dua calon Umno dan Amanah. Hal yang sama berlaku di Tanjong Karang, di mana Zulkafperi menumpaskan calon Umno dan calon Muda yang ketika itu di bawah PN, di kerusi dengan peratusan Melayu 73%. Di Labuan dengan penduduk Melayu dan Bumiputera melebihi 80%, Suhaili menang dalam pertandingan enam penjuru. Dua lagi wakil rakyat berpaling tadah bertanding dengan tiket PAS di Kelantan, iaitu Zahari di Jeli dan Azizi di Gua Musang. Zahari menang dengan majoriti lebih 12,000 undi meninggalkan jauh tiga pencabarnya, manakala di Gua Musang, Azizi menempa sejarah apabila menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah yang mewakili kawasan Orang Asli itu selama lebih empat dekad.





Kuala Kubu Baharu sekali lagi serlahkan rasa kecewa MCA dan MIC dengan .. - 23/04 3:09 pm

# Kuala Kubu Baharu sekali lagi serlahkan rasa kecewa MCA dan MIC dengan 'kerajaan perpaduan' MCA dan MIC terang-terang melanggar seruan pimpinan atasa Umno apabila tidak mahu bersama Pakatan Harapan untuk berkempen. Pendirian dua sekutu tradisi Umno untuk tidak turun berkempen bersama-sama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang akan datang menyerlahkan permusuhan di kalangan komponen yang membentuk kerajaan walaupun pimpinan tertinggi kerap menggunakan slogan ..

"perpaduan". Walaupun beberapa pimpinan tertinggi Umno berkata mana-mana calon PH perlu dikira sebagai calon kerajaan, ia nampaknya tidak meyakinkan MIC dan MCA. Hari ini, Presiden MCA Wee Ka Siong melancarkan serangan tajam ke arah DAP. "Selepas seronok bantai caci maki hamun MCA, sekarang nak suruh MCA bantu DAP berkempen? Apa kamu ingat MCA tidak ada maruah atau perasaan, apabila ahli parti saya terguris dengan kata-kata penghinaan pemimpin DAP, adakah saya selaku presiden MCA, hanya berdiam diri sahaja?" kata Wee, sebagai membalas kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebelum ini. Loke, yang muncul dalam podcast Keluar Sekejap baru-baru ini, menyifatkan MCA sebuah parti "tawkeh" yang tidak mempedulikan kepentingan rakyat. Pemerhati berpendapat keengganan MCA dan MIC untuk turun kempen timbul daripada layanan yang diberikan ke atas dua parti itu, yang sejak lebih sedekad lalu bergelut dengan defisit sokongan kaum Cina dan India - komuniti yang menjadi tulang belakang MCA dan MIC. Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) setuju ia berpunca dengan tindakan "meminggir" parti itu dalam perkongsian kuasa yang lebih menampilkan watak Umno mewakili Barisan Nasional. "Ini kerana DAP mewakili parti bukan Melayu yang sangat dominan dalam kerajaan perpaduan," katanya kepada MalaysiaNow. MIC mahukan BN diberi laluan untuk bertanding di Kuala Kubu Baharu, kerusi negeri di bawah Hulu Selangor. Pada pilihan raya enam negeri (PRN6) yang lalu, kerusi dengan bilangan pengundi hampir separuh bukan Melayu itu dimenangi DAP dengan majoriti 4,119 undi. MCA turut enggan turun berkempen untuk PRK tersebut yang dijadual pada 11 Mei ini. Mazlan berkata, walaupun Umno turut menerima tempias penolakan pengundi terhadap BN, ia masih mengawal kementerian-kementerian utama. "Tetapi tidak bagi rakan-rakan mereka MCA dan MIC," katanya. Ketika pemerintahan BN dulu, MCA dan MIC secara tradisi diberikan portfolio kementerian seperti kesihatan, pengangkutan, tenaga buruh dan teknologi. Kesemua portfolio itu kini dipegang menteri dari PH, termasuk Kementerian Pengangkutan yang dilihat nadi kuasa yang penting yang kini berada di bawah kawalan Loke, setiausaha agung DAP. Bagi pemerhati Anis Anwar Suhaimi, MIC dan MCA melihat DAP sebagai seteru utamanya, dan hubungan antara mereka akan saling bertentangan disebabkan masing-masing merebut kerusi bukan Melayu. "Kerangka berparlimen negara kita menjadikan kedua-dua blok ini secara semulajadinya merupakan musuh tradisi," kata Anis, ketua penyelidik di O2 Research terlibat dalam kajian lapangan mengenai sentimen politik. Jelasnya, ia berbeza dalam hubungan antara Umno dan PH, di mana kerjasama melengkapi antara politik luar bandar dan bandar, begitu juga politik Melayu dan dan bukan Melayu. Anis melihat pendirian MIC dan MCA sebagai satu kenyataan bahawa sebarang kerjasama antara BN dengan gabungan lain mesti mampu memulihkan semula kekuatan BN, bukannya semata-mata dijadikan alat menubuhkan kerajaan. "Maka sekiranya calon yang dipertandingkan adalah parti selain daripada BN, kempen-kempen dan gerak kerja politik yang dilakukan dianggap tidak memberi nilai tambah." Anis berkata jurang antara parti komponen dalam kerajaan juga berpunca daripada kegagalan Umno mengatur strategi dalam kerjasama dengan PH. Sehingga kini, Umno hanya tertumpu kepada pemerkasaan parti Melayu itu melalui portfolio kementerian yang dipegang. "Ini juga dapat dilihat bilamana keputusan-keputusan yang dibuat juga kurang melibatkan rundingan dan perbincangan Majlis Tertinggi BN. "Amalan ini memberi petunjuk kepada pengundi bukan Melayu bahawa kedudukan MCA dan MIC tidak sepenting kedudukan DAP dalam kerjasama yang sedang diadakan," katanya. Walaupun Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berkata akan mengadakan perjumpaan dengan MCA dan MIC, Mazlan berkata kedua-dua parti tetap akan bersikap "tarik tali" dan ia tidak berkesudahan sehingga mereka juga dilayan sama rata.





Selepas berteduh bawah payung di kaki lima, sinar baru untuk pasangan .. - 21/04 7:32 am

# Selepas berteduh bawah payung di kaki lima, sinar baru untuk pasangan warga emas Kisah hidup Zaleha Haron dan suami, serta pengalaman mereka dikasari pegawai JKM, menjadi perbualan ramai ketika sambutan Hari Raya. Hilang kabus, teduh hujan, ungkapan yang sesuai untuk dua warga emas yang hidup gelandangan di Kuala Lumpur sejak November lalu. Semalam, nasib Zaleha Haron dan suami yang sudah enam bulan merempat di kaki lima selepas diusir anak sendiri di Kulim, Kedah, terbela apabila mereka ..

diberikan sebuah bilik sewa di sekitar kawasan Kota Raya di Kuala Lumpur, membolehkan wanita itu berulang alik mengambil upah mencuci pinggan mangkok di sebuah restoran berdekatan. Bilik sewa itu disediakan dengan usaha beberapa agensi, tindakan yang jauh berlainan daripada sikap bengis yang ditunjukkan dua orang pegawai yang cuba menghalau Zaleha dan suami serta memaksa mereka meninggalkan ibukota. Kalau bukan kerana bantuan seorang sahabat yang menghalang dua pegawai itu daripada memaksa pasangan itu menaiki bas ke Johor, Zaleha mungkin kini masih hidup gelandangan meskipun bukan di Kuala Lumpur. Semalam, Zaleha memulakan kehidupan baru di bilik sewa yang diusahakan oleh Yayasan Kebajikan Negara dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beberapa barang keperluan berserta wang tunai turut disumbangkan agensi berkenaan, bagi membantu Zaleha dan suaminya membina semula kehidupan mereka yang dirampas selama enam bulan. Zaleha hampir tidak percaya dengan limpahan kebaikan yang menyambutnya biarpun masih dalam keadaan terkejut dengan apa yang menimpa dirinya. "Tak terbalas jasa semua yang membantu makcik. Selama ini makcik duduk sahaja di tepi kaki lima. Hari ini makcik ada bilik, ada ruang nak rehat dengan baik, boleh mandi dan solat dengan baik," katanya. "Terima kasih ya Allah," katanya tidak dapat menahan air mata. Seperti sebelum ini, Zaleha berkata tidak mahu terus bergantung kepada orang lain, kerana percaya masih mempunyai kekuatan mencari pendapatan bagi dirinya dan suaminya, yang ditimpa masalah kemurungan. "Makcik akan terus bekerja sebab makcik nak kumpul duit sedikit demi sedikit, jadi adalah duit juga untuk kami nak beli makan dan buat simpanan." Beberapa pihak kini sedang berusaha mendapatkan bantuan bulanan kepada pasangan itu. JKM yang sebelum ini dikecam orang ramai atas tindakan dua pegawainya, juga menubuhkan sebuah jawatankuasa menyiasat mereka. Sementara itu, pejabat MalaysiaNow tidak putus-putus menerima panggilan dan emel daripada orang ramai yang mahu membantu. Kisah dua warga emas ini bukan sahaja menayat hati orang ramai, tetapi juga diharapkan membuka mata pihak berkuasa tentang realiti pahit yang dialami setiap hari oleh miskin bandar terutama gelandangan. Dalam minggu-minggu yang akan datang, MalaysiaNow akan mengetengahkan lebih banyak kisah gelandangan dan miskin bandar yang senasib dengan Zaleha.





Nasib Najib kembali hantui Anwar - dan Zahid - di sebalik isu 'titah .. - 19/04 5:02 pm

# Nasib Najib kembali hantui Anwar - dan Zahid - di sebalik isu 'titah adendum' Pemimpin Umno mahukan penjelasan mengapa presiden parti tidak melaporkan tuntutan Agong itu lebih awal. Nasib Najib Razak yang kini dipenjarakan sekali lagi menjadi ancaman terhadap kerjasama 17 bulan antara Umno dan Pakatan Harapan (PH), kali ini berhubung "titah adendum", atau tuntutan tambahan bekas Yang di-Pertuan Agong mengarahkan bekas perdana menteri itu dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya sebagai ..

tahanan di rumah. Beberapa sumber Umno memberitahu MalaysiaNow bahawa tekanan semakin meningkat terhadap presiden parti Ahmad Zahid Hamidi susulan afidavitnya menyokong semakan kehakiman Najib mengenai perkara itu, sementara ramai pemimpin kanan mula merasakan tekanan akar umbi yang semakin tidak selesa dengan kerjasama mereka dengan PH. Seorang pemimpin Umno di Perak memberitahu MalaysiaNow, ramai di kalangan pemimpin parti sangat kecewa kerana Zahid berdiam diri mengenai perkara itu walaupun mengetahui mengenai arahan tambahan Agong itu lebih awal. "Mengapa dia berdiam diri lebih dua bulan mengenai suatu perkara yang besar ini yang didakwanya ditunjukkan kepadanya," kata pemimpin Umno itu yang tidak mahu namanya didedahkan. Pandangan serupa dikongsi ramai yang lain, termasuk bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Isham Jalil, penyokong setia Najib yang sejak beberapa bulan ini muncul sebagai pengkritik kerajaan paling lantang. "Selepas Najib memfailkan saman dan isu addendum ini keluar dan tidak boleh ditutup lagi barulah mereka kalut nak buat afidavit untuk lepas tengkuk masing-masing selepas ditanya akar umbi. Sepatutnya Zahid telah membuat kenyataan terbuka berkenaan perkara ini dua bulan lepas, bukan baru sekarang selepas ia menjadi kes mahkamah dan mereka boleh di-subpoena," katanya dalam satu kiriman baru-baru ini. Dalam afidavitnya bertarikh 9 April, Zahid mengesahkan wujudnya nota tambahan kepada "pengampunan separa" yang diberikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada Najib, sejurus sebelum baginda menamatkan lima tahun di atas takhta sebagai Agong Januari lalu. Menurut Zahid, beliau ditunjukkan gambar nota adendum oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz pada 30 Jan lepas, iaitu hari terakhir Sultan Abdullah sebagai Agong. "Apabila saya menyoal lebih lanjut, beliau kemudiannya menunjukkan kepada saya salinan Titah Adendum tersebut pada telefonnya yang beliau ambil gambar/imbas (scan) sendiri daripada salinan asal seperti yang ditunjukkan kepadanya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI," kata Zahid dalam afidavitnya, sambil mengatakan peguam negara juga mempunyai salinan adendum itu. Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam penyelewengan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd. Sejak dihantar ke penjara pada 23 Ogos 2022, pemimpin Umno giat berkempen mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib, seperti yang diberikan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2018 yang membenarkan pemimpin PKR itu dibebaskan dari penjara ketika menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat, di samping membenarkannya kembali aktif dalam politik. Desakan untuk pengampunan diraja semakin kuat selepas Zahid membawa ahli Parlimen Umno untuk bergabung dengan PH. Penyokong setia Najib, yang dilihat masih berpengaruh dalam parti, merasakan Anwar harus membalas budi Umno yang menyokong PH, sekaligus membolehkan beliau memenuhi impiannya menjadi perdana menteri. Selepas berbulan-bulan spekulasi dan tekanan terhadap kerajaan, Lembaga Pengampunan mengumumkan hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun, dan denda kepada RM50 juta, yang sekiranya dibayar akan membenarkan beliau keluar setahun lebih awal. Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah mendakwa kerajaan menyembunyikan titak adendum oleh Agong itu. Beliau berkata ini kali pertama titah Agong tidak dikuatkuasakan. "Mengapa mereka menyembunyikan titah Yang di-Pertuan Agong, sedangkan kamu (ada kuasa) mendedahkannya? Mereka harus mendedahkan dan menguatkuasakannya," kata Shafee. Menurutnya, sesiapa yang "menyembunyikan" perintah itu telah melakukan kesalahan yang serius. "Tiada siapa boleh sembunyikannya. Ini titah arahan Yang di-Pertuan Agong." Peguam Haniff Khatri Abdulla memberi amaran, tindakan menyembunyikan titah diraja boleh membawa kepada kesalahan khianat. Beliau berkata pihak berkuasa sekurang-kurangnya perlu mengakui kewujudan adendum itu, dan sekiranya tidak bersetuju, membuat rayuan kepada Agong untuk membatalkannya. "Tak boleh ambil dan sembunyi bawah meja," kata Haniff. Beliau menamakan beberapa pihak yang menurutnya bertanggungjawab mendedahkan adendum sekiranya memang wujud. Antaranya, Lembaga Pengampunan sepatutnya pihak terawal dimaklumkan mengenai perintah sedemikian, manakala menteri bagi portfolio Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, dan Jabatan Perdana Menteri di mana Lembaga Pengampunan itu diletakkan, harus menjelaskan apa sebenarnya berlaku dalam episod itu. Haniff berkata Anwar juga perlu menyatakan sama ada beliau dimaklumkan mengenai adendum itu. Selain Anwar dan Zaliha, kata Haniff, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution, yang bidang kuasanya meliputi penjara, dan Azalina Othman Said, menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang, juga perlu bertanggungjawab. Pada Rabu, Shafee berkata beliau pernah berkali-kali menulis kepada Anwar dan menteri lain tetapi tidak mendapat jawapan.





PN gesa dedahkan butiran tender 'kontrak demi kontrak' syarikat .. - 18/04 7:39 am

# PN gesa dedahkan butiran tender 'kontrak demi kontrak' syarikat berkait Farhash Ia selepas Heitech Padu dilaporkan mendapat kontrak bernilai RM190 juta untuk kerja-kerja berkaitan JPJ. ![Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador. Gambar: Facebook Perikatan Nasional (PN) melahirkan kebimbangan terhadap kontrak RM190 juta yang diberikan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan seorang penyokong setia Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan menggesa ..

Putrajaya mendedahkan butiran kontrak lumayan yang diluluskan. Pada Isnin, Heitech Padu Bhd dilapor dianugerahkan kontrak tiga tahun bernilai RM190 juta oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan sokongan teknikal infrastruktur, termasuk untuk sistem MySikap. Bulan lalu, bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador, melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd, muncul sebagai pelabur terbesar syarikat itu dengan kepentingan 15.91%. Dalam satu kenyataan, PN berkata "kontrak demi kontrak" yang diperolehi Heitech Padu menimbulkan "kebimbangan dan persoalan" mengenai proses tender. "Kebimbangan ini dizahirkan oleh rakyat apatah lagi antara pemegang saham utama Heitech Padu adalah merupakan bekas setiausaha politik kepada perdana menteri," kata Khairil Nizam Khirudin, yang mengetuai portfolio pengangkutan gabungan pembangkang itu. Beliau memetik laporan bahawa syarikat itu telah memenangi kontrak sama dengan nilai RM36 juta pada 2021, yang kemudiannya diperbaharui pada 2023 pada nilai RM27 juta. "Justeru wujud persoalan yang besar akan mengapa kontrak kali ini bernilai RM190 juta untuk 3 tahun? Ini menjadikan kontrak tersebut kini bernilai purata RM63 juta setahun. Kenaikan nilai yang amat besar ini perlu dijawab oleh kerajaan," katanya. Beliau menyeru Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan supaya bersikap telus dalam semua proses tender melibatkan Heitech Padu. "(Ini) termasuklah persoalan mengenai nilai kontrak yang tinggi serta senarai semua syarikat yang telah disenarai pendek bagi mendapatkan projek bernilai RM190 juta tersebut." Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Anwar, yang juga menteri kewangan, dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah memberi penjelasan berhubung kontrak diberikan kepada Heitech Padu dalam mesyuarat Kabinet hari ini. Fahmi berkata kontrak tersebut diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan pada 2 Feb tahun lepas, dalam menolak anggapan ia ada kaitan dengan kedudukan Farhash. "Jadi tidak ada kena mengena keberadaan mana-mana pihak Heitech untuk kelulusan," kata Fahmi. Pembelian saham HeiTech Padu oleh Farhash berlaku hanya sehari selepas MyEG Services Bhd pada 11 Mac memperoleh 14.4% kepentingan dalam syarikat itu pada harga RM31.25 juta. Pada hari sama, HeiTech Padu mengumumkan kontrak Sistem Imigresen Malaysia (MyIMM) bernilai lebih RM13 juta dilanjutkan setahun lagi. HeiTech Padu merupakan antara tiga syarikat yang disenarai pendek kerajaan untuk membangunkan projek Sistem Imigresen Bersepadu (NIISe) bernilai RM1 bilion bagi menggantikan MyIMM. Ini bukan kali pertama Farhash yang juga bekas pengerusi PKR Perak menceburi dunia korporat yang melibatkan syarikat tersenarai yang ada hubungan rapat dengan kerajaan. Sejak Anwar diangkat menjadi perdana menteri pada November 2022, Farhash dilantik pengerusi di tiga buah syarikat: 7-Eleven, iaitu rangkaian runcit dimiliki taikun Vincent Tan, sebuah firma broker saham dan syarikat fintech. Kes Farhash bukan satu-satunya yang menimbulkan kebimbangan mengenai nepotisme dan kronisme dalam kerajaan Anwar. Sebelum ini, pelantikan anak sulung perdana menteri, Nurul Izzah Anwar, yang tewas dalam pilihan raya lalu, sebagai penasihat ekonomi dan kewangan untuk bapanya, menerima kecaman ramai. Naib presiden PKR itu kini merupakan penasihat Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional, sebuah agensi di bawah kementerian kewangan diketuai bapanya.





Satu turun, satu lagi naik: Pempengaruh TikTok tak serik akaun dipadam .. - 17/04 2:28 pm

# Satu turun, satu lagi naik: Pempengaruh TikTok tak serik akaun dipadam berkali-kali Na'im Brundage antara yang sudah biasa dengan kehilangan akaun TikTok dan pengikutnya yang ramai. Biasanya seseorang pempengaruh akan dinilai berdasarkan bilangan pengikut dan "subscribers" di saluran media sosialnya. Tetapi bagi TikToker politik Na'im Brundage, bilangan pengikut mungkin tidak lagi menjadi sasarannya. Ini kerana setiap kali dia memuat naik video mengkritik kerajaan, akaun TikToknya akan ..

dipadamkan tanpa sebarang notis. Tetapi ia tidak mengambil masa lama untuk Na'im mewujudkan akaun keenam. Kini, Na'im yang kerap memuat naik klip-klip pendek mempersoalkan tindak tanduk kerajaan dalam bentuk jenaka, mempunyai sasaran lain. "Saya menyasarkan sampai 100 akaun menjelang akhir tahun," katanya berseloroh kepada MalaysiaNow. Ulasan terakhir dimuatnaik Na'im ialah kritikannya terhadap kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung bahawa siasatan ke atas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menunjukkan kerajaan tidak mengamalkan siasatan "pilih kasih". Na'im membalas, ramai ahli politik disiasat tetapi tidak ada dari pihak kerajaan yang berdepan tindakan atau pertuduhan. "Bezanya lepas siasatan tiada sebarang tindakan pun yang diambil," katanya dalam video yang dimuatnaik pada Ahad, memberikan contoh siasatan terhadap pemimpin DAP seperti Tony Pua, Howard Lee dan Ngeh Koo Ham. "Dan kes kegemaran kita semua, kes Agus," katanya merujuk bekas bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohammad Agus Yusoff yang meletak jawatan tidak lama selepas tersebar sebuah klip video menunjukkan beliau dalam perbualan berbaur lucah dengan seorang lelaki PKR. Setakat ini, Na'im tidak berdepan sekatan di YouTube, sebaliknya terpaksa mewujudkan semula akaun TikToknya beberapa kali. Kali pertama akaunnya disekat ialah pada 20 Februari, menyebabkan beliau kehilangan 120,400 pengikut, selepas memuatnaik kritikan mengenai cara jawapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada wartawan yang bertanyakan soalan mengenai kejatuhan ringgit. Pada 9 Mac, akaun kedua dengan 35,000 pengikut pula disekat. Na'im menyimpulkan, "tempoh hayat" akaun TikToknya mempunyai adalah satu atau dua minggu. Na'im berkata menjelang siri pilihan raya kecil yang akan datang, ada kemungkinan tempoh hayat itu dipendekkan lagi. "Saya pun dah bersedia dengan puluhan akaun-akaun baru menunggu untuk digunakan apabila akaun terbaru saya disekat." Na'im berkata setiap kali akaun baharu dilancarkan, ia berjaya meraih jutaan tontonan dalam tempoh singkat. Katanya, ramai pengguna ingin tahu kandungan klip yang dipadam di TikTok, lalu cuba mencarinya di platform lain. Sementara itu, Na'im tidak mahu memberikan apa-apa mesej kepada Kementerian Komunikasi mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), badan yang bertanggungjawab membuat aduan kepada TikTok dan penyedia platform mengenai kandungan yang tidak disenangi kerajaan. "Lebih banyak akaun disekat, lebih banyak penjelasan yang perlu mereka buat di mahkamah satu hari kelak." MalaysiaNow sudah menghubungi SKMM untuk butiran lanjut mengenai perkara ini. Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan beberapa pempengaruh yang mengkritik kerajaan, seperti Ratu Naga dan YB Viral, mendapati akaun TikTok mereka dipadam. Tindakan menyekat kandungan mengkritik kerajaan semakin menjadi-jadi di bawah pentadbiran Anwar, dan sehingga kini kerajaan cuba menafikan ia terlibat. Bagaimanapun, Putrajaya mengakui meminta pengendali platform seperti TikTok untuk menurunkan video menerusi aduan SKMM. Sebaik sahaja menubuhkan kerajaan pada November 2022, platform seperti TikTok diancam kerajaan kerana digunakan meluas oleh penyokong pembangkang. Setakat ini, hanya TikTok milik syarikat China itu yang menurut kehendak SKMM, sementara beberapa platform lain seperti X, YouTube dan Facebook menolak permintaan menurunkan kandungan hanya semata-mata kerana ia tidak disenangi kerajaan. Sejak memulakan tugas sebagai menteri yang bertanggungjawab hal internet, Fahmi Fadzil dikritik kerana tindakan menyekat laman berita. Pada Jun tahun lalu, MalaysiaNow disekat selama 48 jam tanpa sebarang notis, mengundang kecaman pelbagai pihak. Sementara itu, sekatan laman TV Pertiwi dan Utusan TV masih kekal, begitu juga blog yang dikendalikan bekas ahli parlimen Wee Choo Keong. Tahun lalu, Wee diberi kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap SKMM kerana menyekat akses ke blognya. Pemantau media global Reporters Without Borders (RSF), yang menyediakan indeks kebebasan media di seluruh dunia setiap tahun, turut mengkritik tindakan kerajaan menyekat kebebasan bersuara. "RSF sangat bimbang dengan gelombang sekatan oleh pihak berkuasa Malaysia ini, tanpa sebarang penjelasan atau tindakan undang-undang, terhadap laman berita yang mengkritik kerajaan," kata Pengarah Biro Asia-Pasifik RSF Cedric Alviani pada September lalu. Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam Indeks Kebebasan Media yang diterbitkan pada 2023. Berdasarkan kajian sepanjang 2022, iaitu sebelum pentadbiran Anwar, Malaysia diletakkan di tangga teratas di Asia Tenggara, dan melonjak ke tempat ke-73 di peringkat global.





Mahathir ingatkan Anwar tentang akuan berkanun pegawai BNM yang masih .. - 17/04 7:34 am

# Mahathir ingatkan Anwar tentang akuan berkanun pegawai BNM yang masih belum ditarik balik Bekas pemimpin itu berkata perdana menteri masih belum membuktikan tuduhan beliau memiliki harta berbilion ringgit. Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan Anwar Ibrahim tentang sebuah akuan berkanun (SD) yang memperincikan bagaimana perdana menteri memindahkan ratusan juta ringgit, dengan mengatakan dokumen itu masih belum ditarik balik lebih dua dekad kemudian. Mahathir merujuk kepada SD dikeluarkan ..

bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Khalid Murad, pada 1999, yang antara lain mendakwa Anwar menggunakan beliau dan ahli perniagaan lain untuk menyembunyikan berbilion ringgit dalam akaun induk. "Walaupun Anwar tidak didapati bersalah, kenapa statutory declaration Murad tidak ditarik balik? Apakah isteri dan anak-anak Anwar diarah menjelaskan semua harta mereka?" tanya Mahathir dalam catatan ringkas. Murad, yang didakwa pada 1999 kerana gagal mengisytiharkan saham dan hartanah, masih belum menarik balik dokumen 20 perenggan itu, yang antara lain mendakwa Anwar telah mengarahkannya untuk menjalankan beberapa penyusunan korporat, di mana keuntungan daripada urusniaga berkait dengan BNM digunakan untuk melangsaikan hutang kawan dan kroninya. Awal tahun lalu, Tong Kooi Ong, salah seorang ahli perniagaan yang dinamakan dalam SD itu, menggesa Murad menarik balik dokumen tersebut. "Apa yang saya mahukan adalah mudah. Supaya Murad menarik balik SDnya sekarang. Tidak perlu minta maaf," tulis Tong dalam The Edge, akhbar yang dimilikinya. Mahathir turut mencabar Anwar membuktikan bahawa beliau mengumpul berbilion ringgit, tuduhan yang menyebabkan pemimpin veteran itu memfailkan saman. "Saman dibuat lebih satu tahun dahulu. Hingga sekarang Anwar tidak dapat tunjuk bukti saya memiliki berbillion ringgit. "Ini bermakna hingga sekarang saya belum didapati bersalah. Jika SPRM ada bukti tunjuklah.," katanya merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru-baru ini membuka siasatan terhadap dua anaknya. Mahathir dalam pada itu menafikan dakwaan Ketua Polis Negara Razarudin Husain bahawa beliau tidak dilayan sebagai penjenayah ketika disoal siasat. Mahathir mendedahkan butiran notis SPRM kepada anaknya Mirzan, yang menyatakan bekas perdana menteri itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM. "Setakat saya tahu saya tidak pernah disiasat. Tetapi notis SPRM menyatakan saya melaku kesalahan." Beliau turut menyerang Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, yang terlibat dalam kontroversi pemilikan saham pada 2022. "Kenapa adiknya tidak disiasat rapi seperti yang berlaku terhadap anak saya?"





Nasib malang gelandangan warga emas di tangan pegawai JKM pada Hari Raya .. - 16/04 2:50 pm

# Nasib malang gelandangan warga emas di tangan pegawai JKM pada Hari Raya ketiga Dua pegawai JKM bertindak biadap terhadap pasangan warga emas yang diusir anak mereka November lalu. Nasib malang seorang wanita warga emas dan suaminya yang terpaksa menyambut Ramadan dan Syawal di kaki lima tidak berkesudahan apabila mereka didatangi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas tular laporan MalaysiaNow mengenai kisah mereka baru-baru ini. Nasib wanita itu, yang nama sebenarnya Zaleha ..

Haron, dan suaminya yang mengalami masalah kemurungan, mendapat perhatian luas, menyebabkan MalaysiaNow tidak putus-putus menerima emel dan panggilan telefon daripada orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut bagi menyalurkan sumbangan. Bagaimanapun, keprihatinan yang ditunjukkan orang ramai itu jauh berlawanan dengan sikap dua pegawai JKM yang datang berjumpa Zaleha selepas laporan mengenainya dibawa kepada perhatian pihak berkuasa itu. MalaysiaNow difahamkan pegawai tersebut berjumpa dengan Zaleha selepas arahan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri. Bagaimanapun, jauh daripada menolong pasangan itu, dua pegawai itu memaksa pasangan suami isteri itu mengemas barang mereka dan meninggalkan Kuala Lumpur. Mereka kemudian dibawa menaiki kereta ke Terminal Bas Bersepadu (TBS) di Bandar Tasik Selatan untuk menaiki bas ke Muar, Johor, di mana pasangan itu pernah tinggal satu masa dulu. Zaleha bagaimanapun cuba memberitahu dia tidak mempunyai apa-apa hubungan di Muar yang sudah lama ditinggalkannya. Dia juga enggan pulang ke pangkuan anak dan menantunya yang bertindak mengusirnya di Kulim pada November lalu, peristiwa yang menyebabkan mereka membawa diri ke Kuala Lumpur. Zaleha cuba menjelaskan kepada pegawai itu keinginannya untuk meneruskan kerja mencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran berdekatan dengan kawasan kaki lima yang menjadi tempat tinggal dia dan suaminya. "Mereka datang dan terus bertanya, 'Ini apa ada payung-payung semua dekat sini? Cerita makcik dah jadi viral keluar sana sini, siap menangis konon... menyusahkan orang sahaja. "'Kenapa nak keluarkan berita cerita makcik ni? Kenapa tidak minta kepada JKM terus?'" kata Zaleha menceritakan apa yang berlaku pada Hari Raya ketiga yang lalu. Zaleha sebelum ini membuat permohonan kepada JKM untuk menyewa bilik, sebaliknya dia diminta membawa bil air dan elektrik bagi memenuhi syarat kelayakan. "Mereka tidak peduli dengan apa yang makcik katakan," katanya. "Kemudian pegawai itu tanya nak dihantar balik ke Kulim kah? Makcik kata tidak mahu sebab tahu anak tidak akan menerima makcik dan pakcik lagi setelah dihalau keluar." Tanpa menghiraukan penjelasan Zaleha, pegawai itu membawa Zaleha dan suami ke TBS. Zaleha berkata sepanjang perjalanan ke TBS, telefon bimbitnya dirampas oleh pegawai JKM yang memantau panggilan keluar masuk. Bagaimanapun, Zaleha berkata dia sudah pun menghubungi seorang kenalannya ketika kedua-dua pegawai membuat kecoh di kaki lima sebelum itu. Kenalan wanita itu bersama suaminya terus bergegas ke TBS untuk menghalang pegawai tersebut. Sejurus di TBS, pertikaman lidah berlaku antara dua pegawai JKM dan kenalannya, yang memarahi mereka kerana merampas telefon bimbit Zaleha. "Barulah pegawai JKM itu pulangkan telefon makcik," kata Zaleha, yang turut memberitahu mereka ditempatkan di balai pondok sebaik sahaja tiba di TBS. Zaleha kesal dengan sikap bengis kedua-dua pegawai itu, yang menurutnya turut memberi amaran kepadanya supaya tidak menyebarkan apa yang berlaku terhadapnya. Tambahnya, mereka turut mengugut untuk membatalkan status penduduk tetap (PR) suaminya. "Mereka pesan pada makcik, 'jangan nak keluar cerita apa-apa lagi lepas ni, kalau viral lagi, saya ambil kad pengenalan pakcik dan saya gunting kad pakcik," kata Zaleha, yang berkata pegawai JKM itu terdiri daripada dua wanita, seorang berbangsa Melayu dan seorang India. Insiden itu bagaimanapun berakhir dengan pegawai JKM itu bersetuju melepaskan Zaleha dan suaminya. Mereka kini tinggal sementara di sebuah rumah milik rakannya sehingga menunggu bantuan yang membolehkan mereka menyewa tempat tinggal sendiri. "Makcik ingatkan kesedihan ini sudah berakhir. Sudah lah anak sendiri pun halau, JKM pula buat begini. "Sedih sangat makcik. Hanya Allah sahaja yang tahu," ujarnya. Ditanya bagaimana orang ramai boleh menyalurkan sumbangan, Zaleha berkata dia mempunyai akaun Bank Islam tidak ingat nombor akaun tersebut. MalaysiaNow akan memaklumkan kepada pembaca sebaik sahaja butiran akaun Zaleha diterima.





Percubaan Zahid hidupkan semula Umno Selangor menerusi lantikan Putrajaya .. - 15/04 2:50 pm

# Percubaan Zahid hidupkan semula Umno Selangor menerusi lantikan Putrajaya bakal gagal? Bekas orang kuat parti tidak yakin Umno dapat bangkit semula sama ada di bandar atau luar bandar. Tindakan Umno Selangor memulangkan semula jawatan ketua kampung dan menolak peranan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu mengesahkan realiti yang menyelubungi parti itu sejak kalah teruk dalam dua pilihan raya: ia tiada lagi pengaruh di kawasan kampung dan bandar. Dua bekas pemimpin Umno berkata ia ..

merupakan pengakuan bahawa parti itu bukan sahaja tidak relevan di kawasan bandar, tetapi juga masih bergelut dalam mendapatkan semula pengaruhnya di kalangan penduduk luar bandar. Umno Selangor baru-baru ini berkata akan mengosongkan 75 jawatan di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), sebaliknya akan mengisi lantikan pengerusi Komuniti Desa Madani (KDM) yang bakal diwujudkan di setiap kampung. MPKK, yang diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dijenamakan semula daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada 2018, ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah Dr Mahathir Mohamad. Manakala KDM bakal diwujudkan di setiap kampung oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di bawah Ahmad Zahid Hamidi, yang juga presiden parti tersebut, dengan lantikan terus dari Putrajaya. Isham Jalil, antara pemimpin Umno yang disingkir sejak ia menjadi rakan kongsi PH, mengingatkan parti itu tentang pengaruhnya yang telah merosot di kawasan luar bandar. "Umno di bawah Zahid sedang kehilangan pengaruh di mana-mana, bukan sahaja di kawasan bandar, bahkan sekarang di kawasan luar bandar yang menjadi kubu kuatnya," bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu memberitahu MalaysiaNow. "Tetapi mereka tidak sukakan Zahid dan orang-orangnya." Langkah Umno mengosongkan MPKK ini berlaku beberapa bulan selepas keputusannya menolak kira-kira 20 lantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan memberi alasan menghormati dominasi PH di kawasan bandar. Bagi pemerhati politik Azizi Safar, ia adalah pengakuan realistik nasib yang menimpa parti itu pada tahun lepas, yang menyaksikan calon Umno hanya menang dua daripada 12 kerusi yang ditandinginya di Selangor. "Tindakan Umno Selangor ini boleh ditafsir sebagai satu pengakuan oleh parti itu bahawa ia sudah tidak lagi relevan di kawasan bandar," kata Azizi, bekas setiausaha eksekutif Barisan Nasional Pulau Pinang. Umno hanya menang 30 kerusi di enam negeri yang mengadakan pilihan raya negeri tahun lalu, sekaligus hilang kerusi yang pernah menjadi kubu kuatnya di sebalik sokongan kuat orang Melayu terhadap PAS dan Bersatu yang menaungi Perikatan Nasional. Isham berkata tindakan Zahid mewujudkan KDM adalah untuk memberi tempat kepada penyokong-penyokongnya dalam Umno. Ini membolehkan Zahid, yang menang tipis di Bagan Datuk pada pilihan raya umum lalu, menjamin kemenangannya pada pemilihan Umno 2026, dan terus menerajui parti itu pada PRU16 menerusi kerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP. "Majoriti orang Melayu tidak menyokong formula Zahid dan Umno akan tewas di kawasan-kawasan Melayu. Umno akan bergantung kepada DAP untuk undi. Dan itu akan menjadi pengakhiran kepada Umno," katanya. Azizi berkata tindakan menubuhkan KDM sebagai satu lagi struktur kuasa lain di kawasan kampung memberi isyarat bahawa "perpaduan" antara PH dan BN di peringkat persekutuan tidak wujud di peringkat akar umbi dan negeri. Beliau menjangkakan konflik dan pertembungan berlaku antara MPKK dan KDM pada masa depan. "Bolehkah kedua-dua badan ini saling melengkapi antara satu sama lain, atau kedua-dua akan bersaing hebat dalam merebut dan membina sokongan rakyat kepada parti masing-masing?" Ini tidak baik untuk kerajaan Madani," kata Azizi. Sementara itu, bekas ahli majlis di Petaling Jaya, Mak Khuin Weng berkata, kawasan-kawasan bandar dipengaruhi oleh persatuan penduduk dan komuniti yang berbeza mempunyai struktur kuasa berbeza dengan kawasan kampung. "Sama ada Umno telah melepaskan pengaruh di bandar bergantung kepada betapa kuatnya pengaruh mereka dalam organisasi-organisasi ini. "Kuasa di bandar juga tertumpu kepada PBT yang berada di bawah PH. Satu-satunya cara PH boleh kehilangan kuasa di bandar ialah jika mereka gagal buat kerja. Umno tidak boleh mencabar mereka pada ketika ini," kata bekas calon bebas di kerusi DUN Bukit Gasing itu. Umno kali terakhir berkuasa di Selangor pada 2008, ketika ia tumbang kepada Pakatan Rakyat, iaitu kerjasama politik longgar antara PKR, DAP dan PAS.





Dihantui pembunuhan di Gaza, tiada Hari Raya untuk pemuda Palestin ini .. - 11/04 3:50 pm

# Dihantui pembunuhan di Gaza, tiada Hari Raya untuk pemuda Palestin ini Yousuf Abuassi dilanda perasaan gelisah memikirkan keluarganya di Gaza yang tidak dapat dihubungi selama beberapa bulan. Ketika umat Islam di Malaysia teruja pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, Yousuf Abuassi, 26, dilanda kegelisahan. Sejak Oktober lalu, pemuda Palestin ini sukar menghubungi ahli keluarganya yang tinggal di wilayah yang kini musnah ranap akibat kempen pembedilan Israel itu. ..

Yousuf datang ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dan mencari pekerjaan supaya dapat menghantar wang pulang kepada keluarganya. Kali terakhir dia menghubungi mereka beberapa bulan yang lalu. "Ibu bapa saya dan 11 adik beradik saya semuanya di sana," katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui baru-baru ini di perhimpunan bantah Israel di kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur. "Seorang daripada mereka telah syahid tiga setengah bulan lalu. 19 sepupu saya telah syahid manakala ada yang hilang anggota badan. Sudah empat bulan sejak saya mendengar suara ibu." Daripada lebih 187,000 pelarian yang didaftarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian di Malaysia, kurang daripada 1,000 adalah rakyat Palestin yang melarikan diri dari konflik di wilayah yang diduduki Israel itu. Lebih 30,000 orang terkorban di Gaza sejak Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran di semenanjung itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Yousuf amat terganggu dengan klip dan gambar kemusnahan Gaza yang dilihatnya, dan bertekad untuk melakukan apa yang mampu membela rakyat Palestin. Dia mula berkongsi berita dan klip video di laman media sosialnya dengan matlamat menyebarkan kesedaran khususnya kepada rakyat Malaysia. Akaun Instagram dan TikToknya mula mendapat tarikan sehingga dia mempunyai hampir 200,000 pengikut di kedua-dua platform tersebut. Klip videonya dirakam saudara mara dan kenalan lain yang masih berada di Gaza. Sebaik sahaja menerimanya, dia menyuntingnya dan memuat naik bersama sari kata bahasa Melayu. "Sebelum perang, saya tidak dikenali di sini. Tetapi pengguna mahu mendapatkan kemas kini melalui muat naik saya di Instagram dan TikTok, dan saya melakukannya secara konsisten," kata Yousuf, yang menyara hidup di Malaysia dengan berniaga. Bagaimanapun, dia menerima ancaman dalam talian, dan akaun TikTok dan Instagramnya disekat pada awalnya. "Di ruang komen, saya dituduh kononnya saya diupah Hamas untuk bercakap mengenai Palestin, dan menjadi sebahagian daripada mujahidin, itu tidak benar," katanya. "Baru-baru ini, saya menerima panggilan daripada nombor tempatan. Orang itu bercakap dalam bahasa Melayu, dan memberi amaran kepada saya untuk tidak menyiarkan apa-apa di media sosial lagi. "Saya membuat laporan polis, dan sekumpulan pegawai polis datang ke rumah saya untuk memastikan keselamatan saya." Di sekeliling Yousuf, kemeriahan Hari Raya jelas terasa, tetapi hatinya tidak sanggup untuk menyambutnya tahun ini. Yousuf sudah lebih sedekad di Malaysia, dan mendirikan rumah tangga dengan wanita Melayu yang berasal dari utara Selangor. Baju Melayu lamanya masih tergantung di dalam almari, dan rendang menanti di dapur. "Saya membeli beberapa baju raya untuk isteri dan anak, tetapi bukan untuk diri sendiri. Saya hanya akan menunaikan solat Aidilfitri, dan kemudian pulang ke rumah. "Buat masa ini, saya bimbang keselamatan saya," katanya mengimbau penahanan seorang lelaki Israel baru-baru ini di Malaysia. Hatinya berdebar setiap kali mengingati nasib keluarganya di Gaza, dan bagaimana mereka terpaksa tidur di jalanan selepas rumah mereka musnah. "Peperangan kali ini adalah yang paling dahsyat. Semasa saya di Gaza, paling lama perang berpanjangan dua bulan, tetapi kali ini ia berterusan selama setengah tahun," katanya.





Raya pertama selepas 21 tahun menunggu detik dibawa ke tali gantung April .. - 11/04 3:50 pm

# Raya pertama selepas 21 tahun menunggu detik dibawa ke tali gantung Namun, Razali Ahmad terpaksa berdepan satu lagi hukuman di luar penjara. Razali Ahmad teruja apabila berjalan masuk ke sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur, memimpin ibunya yang bertongkat, berhajat untuk membeli sedikit barangan. Tahun ini merupakan tahun bersejarah bagi lelaki berusia 49 tahun ini, kerana dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai seorang insan bebas selepas 21 tahun. Selama dua dekad, dia merengkok ..

di penjara sebagai banduan akhir yang menanti hukuman mati. Selama dua dekad, dia tidak merasai nikmat juadah raya, ataupun amalan-amalan biasa Hari Raya seperti bersalaman di pagi raya dan solat Raya di masjid. Selama dua dekad, dia menunggu gilirannya ke tali gantung. "Ini raya yang terbaik dalam hidup saya," katanya kepada MalaysiaNow. Razali antara banduan akhir yang bertuah selepas hukuman matinya diketepikan. "Semua ini bagaikan satu keajaiban yang amat besar buat diri saya dan rakan-rakan lain yang sudah bebas." Dia disabitkan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pada November lalu, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman Razali kepada penjara 30 tahun dan 12 sebatan, selari dengan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023. Hukuman sebat ke atasnya dijalankan di Penjara Kajang, dan kemudian dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh. Walaupun kini menghirup udara di luar penjara, semuanya sudah berubah bagi Razali. Ibunya sudah menginjak usia 70 tahun dan sukar berjalan, manakala ayahnya seringkali ke hospital akibat strok. Razali bertekad mendapatkan pekerjaan, tetapi stigma "bekas banduan" menjadikan usaha ini sukar. "Adakah orang-orang macam kami ini tidak boleh berubah? Kami tak layak ada masa depankah? "Jika bekas banduan boleh jadi perdana menteri, berilah kami juga sedikit peluang untuk sara hidup," kata Razali, yang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang. Walaupun bebas, Razali kini seakan-akan melalui satu lagi hukuman, iaitu dengan dinafikan peluang menjalankan kehidupan biasa. Dia kini memulakan perniagaan kecilnya hasil bantuan dana dari rakan-rakan, menjual pakaian dan makanan ringan di Danau Kota pada sebelah malam. Di sebelah siang, dia akan membantu ibu angkatnya mengusahakan perniagaan katering berdekatan rumahnya. Sejak beberapa bulan lalu, Razali aktif memenuhi beberapa jemputan untuk berkongsi pengalamannya dengan pelajar di kolej dan universiti. Mesejnya kepada anak muda jelas: Jangan terlibat dengan dadah dan jenayah lain. "Itulah cita-cita saya sekarang, saya mahu selamatkan generasi muda selepas 21 tahun jalani hukuman."





Diusir anak sendiri, pasangan warga emas beraya di kaki lima April 10, .. - 10/04 9:51 pm

# Diusir anak sendiri, pasangan warga emas beraya di kaki lima Satu masa dulu menjalankan kehidupan biasa, kini pasangan warga emas ini menjadi gelandangan di Kuala Lumpur. "Remuk, hancur, luluh hati makcik," kata Zainab (bukan nama sebenar), menceritakan detik hitam dia dan suaminya diusir satu-satunya anak mereka. Kini mereka merempat di kaki lima berhampiran kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur. Zainab hilang dua anaknya, masing-masing akibat Covid-19 dan kemalangan. Yang tinggal seorang anak ..

lelaki. Hatinya masih tidak dapat menerima apa yang berlaku, dan tidak mungkin akan kembali ke pangkuan anaknya. "Kalau anak makcik datang sujud di kaki makcik sekali pun, makcik akan halau dia balik. Makcik maafkan, tetapi luka dalam hati terlalu pedih dengan apa yang berlaku," ujarnya. Sebelum ini, Zainab dan suami menjalankan kehidupan biasa bekerja di sebuah kilang di Bangi. Satu hari, anaknya mengajak mereka pulang bersamanya tinggal di Kulim, Kedah. Dengan duit simpanan KWSP sebanyak RM60,000, Zainab berhenti bekerja untuk tinggal bersama anaknya. Bagaimanapun, pendapatan anaknya sebagai tukang masak tidak dapat menampung keperluan mereka. Zainab kembali bekerja, mengambil upah harian RM80 mencuci pinggan dan membersihkan ayam, ditambah dengan duit baki KWSP untuk perbelanjaan harian. "Setiap kali balik kerja, RM60 makcik berikan kepada menantu untuk beli pampers, susu dan makanan untuk cucu. Makcik pegang RM20 sahaja." Menurutnya, dia tidak pernah berkira dengan anak lelakinya itu. Namun, layanan menantu terhadapnya membuatkan Zainab dan suami tawar hati. Selepas tiga tahun, Zainab dan suami memutuskan keluar dari rumah anaknya. "Satu hari, makcik dengar menantu tanya kepada anak, 'kau pilih sama ada aku atau orang tua itu," kata Zainab. Zainab masih ingat ketika November tahun lalu, anaknya menghantar mereka ke stesen bas dengan berbekalkan RM80 sahaja menuju Kuala Lumpur. "Duit KWSP RM60,000 dah habis. Tiada apa lagi yang tinggal untuk kami teruskan kehidupan," luahnya sambil mengesatkan air mata. Mereka tiba di kawasan sekitar Kota Raya di sebelah pagi, tanpa hala tuju dan tidak tahu ingin ke mana. "Makcik pun dah pesan jangan cari-cari makcik lagi bila makcik dah keluar dari rumah. "Cuma makcik rindukan dua orang cucu makcik, rindu sangat," luahnya. Zainab beberapa kali cuba mendapatkan tempat berteduh, termasuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Mana makcik boleh beri sebab makcik sendiri pun duduk di kaki lima, makcik pun ada beritahu makcik perlukan bilik sahaja untuk mandi, solat, basuh baju. Itu sahaja." Katanya, dia tidak mahu ke rumah orang tua kerana mahu terus bekerja. Zainab bekerja mencuci pinggan di sebuah restoran berhampiran dengan upah harian RM50. Bagaimanapun, disebabkan restoran tutup pada siang hari Ramadan, dia tidak dapat bekerja. Kini, dia dan suami mendapat bantuan beberapa badan kebajikan dan NGO yang menyampaikan makanan dan pakaian. "Setiap hari makcik akan bangun jam 4 pagi untuk solat sunat dan terus sahur dengan lebihan makanan yang ada sewaktu buka puasa," katanya. Zainab masih tidak dapat membayangkan apa yang menimpanya. "Makcik tidak pernah langsung membayangkan kehidupan makcik akan beraya di kaki lima. "Selama ini makcik melihat gelandangan lain beraya di kaki lima, hari ini makcik merasainya. "Tiada baju raya, kuih raya, tak apalah. Makcik tetap bersyukur di sini untuk menyambut Aidilfitri."



'Tak masuk akal': Pakar persoal idea ganti beras dengan ubi kayu .. - 9/04 4:10 pm

# 'Tak masuk akal': Pakar persoal idea ganti beras dengan ubi kayu Ia bukti kerajaan sekarang gagal menangani krisis bekalan beras, menurut seorang bekas penasihat kerajaan untuk sektor pertanian. Seorang pakar pertanian menolak cadangan menjadikan ubi kayu sebagai makanan alternatif sebagai penyelesaian kepada masalah bekalan beras, sambil menyifatkan ia bukti kegagalan pihak berkuasa. Prof Fatimah Arshad yang pernah menganggotai Majlis Penasihat Pertanian Negara berkata sepatutnya masalah ..

ketiadaan beras tempatan diatasi dahulu. "Malaysia bukan tiada beras, tapi beras disorok dan dicampur supaya pengilang dapat untung besar. Mereka untung besar, rakyat kena makan ubi kayu?" katanya kepada MalaysiaNow. Speaker Dewan Rakyat yang juga bekas ahli Parlimen PKR, Johari Abdul, baru-baru ini mengundang kecaman dan sindiran di media sosial ekoran cadangannya untuk menjadikan ubi kayu sebagai alternatif kepada nasi sehingga masalah bekalan beras dapat diatasi. Johari berkata ubi kayu juga mengandungi karbohidrat, malah lebih sihat kerana kandungan gula yang rendah. Cadangan itu diikuti dengan ledakan kritikan dan kecaman terhadap Johari, dengan pelbagai klip video menyindir pihak kerajaan. Fatimah berkata ubi kayu mempunyai indeks glisemik yang lebih tinggi berbanding nasi. Indeks glisemik skala yang menentukan kedudukan secepat mana makanan yang mengandungi karbohidrat menyebabkan peningkatan gula darah seseorang individu. Di samping itu, ubi kayu juga ada kesan sampingan seperti badan berangin (bloating), katanya. Menurut laman Facebook advokasi kesihatan Public Health Malaysia, walaupun ubi kayu mempunyai khasiat seperti menguatkan tulang dan gigi, pengambilan berlebihan boleh menyebabkan penambahan berat badan dan risiko toksik sianida. Malaysia berdepan masalah bekalan beras putih tempatan sejak tahun lalu, disebabkan bukan sahaja perubahan iklim dan kenaikan kos benih padi, tetapi juga tindakan orang tengah dan kartel menyimpan stok dan manipulasi harga. Ekoran sekatan import beras dari India yang menyebabkan kenaikan harga beras import, bekalan beras putih tempatan yang lebih murah mula "hilang" di pasaran. Malaysia menghasilkan kira-kira 60% daripada penggunaan beras domestik. Sebelum ini, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim mahu memperkenalkan pek 'Beras Madani' yang menggantikan semua varieti beras di pasaran. Cadangan itu bertujuan menghapuskan kegiatan pengilang mencampurkan varieti beras untuk dijual sebagai beras import bagi mendapatkan margin keuntungan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, Fatimah berkata masalah beras tidak terletak pada jenis varieti, tetapi pada masalah bekalan yang berpunca daripada pengilang dan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas), syarikat milik taikun Syed Mokhtar Al-Bukhary yang mempunyai monopoli mengimport beras. "Lembaga Padi dan Beras Negara yang ditubuh sejak 1971 kemudian menjadi Bernas sudah jadi 'gergasi besar' sampai kerajaan takut hendak mengambil tindakan," katanya. Fatimah berkata tidak sukar untuk mempersoalkan rasional cadangan Johari itu. "Tanya Datuk-Datuk (orang berkuasa) itu, mahu atau tidak makan ubi kayu rebus tiga kali sehari?" Penganalisis Anis Anwar Suhaimi berkata, cadangan menggantikan makanan ruji sesebuah masyarakat tidak masuk akal. "Betapa pentingnya nasi dan beras dalam masyarakat juga dapat dilihat dalam simpulan bahasa Melayu di mana pintu rezeki itu juga dikatakan sebagai periuk nasi. Betapa sinonimnya nasi dengan rezeki," kata Anis, yang merupakan ketua penyelidik O2 Research Malaysia. Tambahnya, kenyataan seperti Johari memperlihatkan betapa pemimpin di pihak kerajaan terpisah daripada realiti dan kesukaran rakyat.



Umno pakai isu stokin, DAP bela KK Mart, jurang dua parti terus melebar .. - 8/04 2:51 pm

# Umno pakai isu stokin, DAP bela KK Mart, jurang dua parti terus melebar Isu stokin 'Allah' adalah yang terbaru meletakkan Umno dan DAP masing-masing di dua kutub berbeza. Hubungan antara DAP dan Umno yang sememangnya dingin di peringkat akar umbi walaupun berkongsi kuasa, kini bertambah buruk apabila beberapa isu melibatkan retorik perkauman didebatkan secara terbuka, termasuk episod stokin tertera kalimah Allah. Selain isu stokin, isu bak kut teh - hidangan Cina yang secara tradisi ..

mengandungi babi - diangkat sebagai warisan negara dan sekolah vernakular, memaksa DAP and Umno masing-masing kekal di dua kutub yang berbeza. Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh seolah-olah menjadi jawapan parti Melayu itu kepada menteri-menteri yang kerap terpalit dengan isu perkauman, seperti pemimpin DAP Nga Kor Ming dan ahli politik Sarawak Tiong King Sing. Ia mengesahkan anggapan yang percubaan pimpinan kanan Umno, khususnya Ahmad Zahid Hamidi, dalam menggambarkan DAP sebagai "kawan" untuk memastikan parti Melayu itu kekal berkuasa di Putrajaya, hanyalah usaha sia-sia. "Saya melihat Umno dan DAP mempunyai perbezaan fundamental dari segi pendekatan ideologinya yang tidak dibincangkan secara mendalam ketika mereka membentuk kerjasama," kata penganalisis Rabi'ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa. Umno dan DAP, dua parti utama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang menjadi musuh ketat selama berdekad, bergabung membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum dua tahun lalu yang menyaksikan tiada antara tiga gabungan penting mendapat majoriti mudah. Sejak itu, memang ada beberapa pergeseran antara panglima Umno yang tidak puas hati dengan DAP. Bagaimanapun isu stokin "Allah" meletakkan Umno dalam keadaan terhimpit, lebih-lebih lagi Akmal. Apabila kecoh stokin "Allah" dijumpai dijual di rangkaian KK Mart, Akmal bergegas menjuarai isu itu dengan menyeru umat Islam memboikot kedai rangkaian serbaneka milik usahawan Cina itu. Syarikat itu berkali-kali meminta maaf dan mengaku cuai kerana tidak memeriksa stokin tersebut, termasuk baru-baru ini selepas pemiliknya menghadap Yang di-Pertuan Agong. Kempen Pemuda Umno itu bagaimanapun hambar di sebalik keengganan PAS untuk menggunakan pengaruhnya dalam menyeru boikot. Parti Islam itu sebaliknya berkata syarikat itu perlu dihukum menurut undang-undang. Bagi ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Umno perlu berpaut kepada isu lain supaya parti itu menarik sokongan orang Melayu. Syed Abu Hussin, wakil rakyat Bersatu yang dilantik mengetuai sebuah jawatankuasa memantau bekalan makanan selepas berpaling tadah menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, memberi contoh masalah industri beras yang menjejaskan syarikat Melayu tetapi tidak mendapat perhatian. "Sepatutnya Umno perlu menjadi juara dalam isu beras, sebab isu beras tidak ada komplikasi perbezaan pendapat bagi semua orang Melayu. Saya mengajak Akmal bersama-sama memperjuangkan isu beras dan selamatkan industri Melayu," tambahnya. Biarpun dikritik kawan dan lawan, Akmal terus mempertahankan pendirian kerasnya dalam isu stokin "Allah". Antara tindakannya ialah memuatnaik gambar memegang pedang di laman sosial dengan pesanan "tidak akan berganjak" dengan pendiriannya. Di sebalik kecaman terhadap Akmal oleh pemimpin PH, DAP bangkit mempertahankan KK Mart, malah melancarkan kempen mengajak orang ramai berbelanja di rangakaian kedai itu sebagai tanda solidariti. Rabi'ah berkata, perbezaan ideologi yang belum selesai antara Umno dan DAP itu akan menjadi penentu sama ada kerjasama politik antara BN dan PH diteruskan untuk apa-apa pilihan raya akan datang. Menurutnya, wujud polarisasi jelas yang mana Umno cuba mewakili sentimen orang Melayu Islam, manakala DAP mempertahankan perniagaan yang diusahakan oleh kaum Cina. Pemerhati politik Azizi Safar berkata dalam melawan kempen Pemuda Umno, DAP tiada pilihan melainkan mengambil pendirian tegas. "Ini supaya DAP tidak dilihat oleh penyokong-penyokongnya sebagai terlalu akur atau tunduk dengan kemahuan dan tindakan Umno," kata bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang itu. Pemerhati politik Melayu Ahmad Atory Hussain berkata pentadbiran Anwar tiada pilihan tetapi berusaha memastikan sokongan orang bukan Melayu kekal. Katanya, kerajaan Anwar dilihat tidak mampu menguruskan isu-isu perkauman yang melanda negara. Akmal, menurut Atory, dilihat bersendirian dalam mengangkat "suara orang Melayu" dalam kerajaan. "Daripada 148 kerusi Parlimen yang sokong Anwar, 73 Islam dan 75 bukan Islam. Jadi bagaimana Akmal nak dapat sokongan?" Atory juga berkata pendirian Anwar untuk "diam" dalam beberapa isu sensitif boleh menjejaskan reputasi beliau di kalangan pengundi Melayu dan bukan Melayu. "Beliau dilihat cuba bertindak seperti berkecuali dan membiarkan isu-isu itu kekal berkeadaan 'status quo' atau pun decisionless (tiada keputusan). Tindakan ini bertujuan untuk menjaga kepentingan politik DAP agar terus menyokong beliau," katanya.



Johari diserang selepas ajak rakyat makan ubi kayu ganti nasi April 7, .. - 7/04 2:47 pm

# Johari diserang selepas ajak rakyat makan ubi kayu ganti nasi Speaker Dewan Rakyat itu menjadi sasaran kritikan dan cemuhan, dengan ramai menyuruhnya menunjukkan teladan dengan beralih kepada ubi kayu. Media sosial menjadi kecoh selepas orang ramai melahirkan rasa terkejut dan lawak terhadap cadangan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul supaya rakyat Malaysia menggantikan beras dengan ubi kayu sebagai makanan ruji alternatif sebagai penyelesaian kepada krisis bekalan beras yang dihadapi ..

negara ketika ini. Ahli politik PKR itu berkata ubi kayu, yang pernah menjadi makanan harian ketika era penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua akibat kekurangan beras, juga merupakan sumber karbohidrat yang baik. Apa tujuan kita makan beras? Tujuannya untuk dapatkan karbohidrat? "Saya pernah berbincang dengan beberapa MP dari Sarawak. Banyak MP Sarawak yang tanam ubi kayu. "Orang-orang Sarawak, dia guna ubi kayu... kalau kita dapat perkenalkan makanan suplemen menggantikan beras, buatlah macam mana pun...saya difahamkan di Sarawak amat berjaya," katanya ketika melawat Jualan Termurah Madani di Sungai Petani, kerusi yang pernah diwakilinya untuk PKR. Johari berkata Malaysia "harus ada keberanian" mencuba penanaman ubi kayu, sambil menambah ia lebih berkhasiat daripada beras dan kandungan gulanya juga lebih rendah, di samping mengurangkan pergantungan negara terhadap import makanan. Kenyataannya menyaksikan kebanjiran komen di media sosial. Antaranya ialah daripada pempengaruh politik popular Ratu Naga, yang memanggil Johari "Jo Ubi". "Kenapa masih gagal dapatkan beras sedangkan Malaysia mengeluarkan 60% beras tempatan. Kenapa susah sangat nak nampak beras di Malaysia? "Kalau tak ada beras, ganti dengan ubi (kayu), kalau pemimpin bodoh, rakyat boleh tak gantikan dengan pemimpin pandai?" soalnya dalam klip video menyindir Johari, pemimpin PKR yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum ke-15 yang lalu. Nada sama dimuatkan dalam banyak komen lain di pelbagai platform media sosial, di mana pemimpin kerajaan dan penyokong mereka diminta beralih kepada ubi kayu sebagai makanan harian. "Kalau boleh semua ahli Parlimen dan Adun makan ubi kayu dulu, yang beras berikan (kepada) rakyat yang memerlukan," tulis Abd Rahim. ""Dulu kangkung... ok lagi.. ni suhnyer makan ubi. Jahanam punya kera jaan," menurut satu lagi komen, yang mengimbas kenyataan Najib Razak sedekad yang lalu. Pada 2014, bekas perdana menteri itu mengundang kutukan dan sindiran orang ramai selepas cubaannya menolak dakwaan kenaikan harga dengan memberikan contoh harga kangkung yang turun pada masa itu. TikToker Na'im Brundage turut mencabar Johari untuk cuba dulu memakan ubi kayu selama setahun. Cadangan serupa pernah diutarakan tahun lalu oleh Mohamad Sabu, menteri yang bertanggungjawab bagi keterjaminan makanan. "Sampai di Rusila, berhenti makan mee. Lepas makan mee, berjalan lagi sampai Paka, makan burger. Lepas makan burger, saya pergi ceramah. Lepas ceramah, kawan saya kata, 'Bang Mat, kita tak makan lagi'. "'Itu bukan nasi'. Akhirnya berhenti makan nasi selepas itu." Mohamad berkata kementerian kesihatan perlu melancarkan kempen beralih kepada alternatif kepada beras sekiranya berlaku kekurangan beras. Malaysia berdepan masalah bekalan beras putih tempatan sejak tahun lalu, disebabkan bukan sahaja perubahan iklim dan kenaikan kos benih padi, tetapi juga tindakan orang tengah dan kartel menyimpan stok dan manipulasi harga. ia diburukkan lagi dengan keputusan India mengharamkan eksport beras putih bagi melindungi bekalan domestik negara itu. Bagaimanapun, beberapa negara yang bergantung kepada import beras dari India, seperti Singapura, sudah terlebih dahulu membuat perancangan awal, dengan mengadakan perjanjian pengecualian dengan New Delhi bagi mengelak gangguan bekalan beras. Bekalan beras putih tempatan mula "hilang" di pasaran selepas Padiberas Nasional (Bernas), syarikat milik taikun Syed Mokhtar Al-Bukhary yang mempunyai monopoli mengimport beras, menaikkan harga runcit beras import sebanyak 36% pada September tahun lepas, menyebabkan peningkatan mendadak untuk beras tempatan yang lebih murah. Pengeluaran beras putih tempatan, yang harganya dikawal pada RM26 setiap 10kg, hanya mampu memenuhi 60% hingga 70% permintaan negara. Sementara itu, beberapa pengguna media sosial berkata ubi kayu lebih mahal daripada beras, dalam reaksi mereka terhadap cadangan Johari. "Nanti bila ubi pula tak cukup, ubi pula kita import, hehehe," sindir Azlan Suhaizat Mohamed Pitchay. Azrul Hisyam mengaitkan cadangan Johari dengan prestasinya sebagai penceramah. "Ingatkan kat Parlimen sahaja kelakar, luar Parlimen pun sama-sama kelakar." Ahmad Nusi dalam pada itu menyindir Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, yang sering mendapat jolokan "raja formula". "Ini bukan idea, dia cuma bagi formula macam kawan-kawan dia," tulisnya. Seorang lagi pengguna bertanya sama ahli politik kerajaan akan menghidangkan ada ubi kayu menggantikan nasi pada majlis rumah terbuka Hari Raya yang bakal tiba. Manakala seorang lagi bertanya sama ada zakat fitrah, yang kadarnya berdasarkan harga makanan ruji sesebuah negara, akan dikira berdasarkan harga ubi kayu.



Lahir 'sehari awal', wanita Melayu tanggung siksa lebih 40 tahun .. - 5/04 3:30 pm

# Lahir 'sehari awal', wanita Melayu tanggung siksa lebih 40 tahun tanpa kerakyatan Fatimah terkilan dengan pemimpin kerajaan dan pembangkang yang tidak dapat bersimpati dengan nasib yang menimpa orang sepertinya. Fatimah (bukan nama sebenar) duduk di sebelah kedua-dua ibu bapanya sambil mengenangkan waktu dirinya demam panas beberapa tahun lalu tetapi tidak boleh mendapatkan rawatan di klinik berdekatan. Dengan keadaan sebak, anak sulung daripada lima beradik itu berkata setiap kali sakit, ..

dirinya tidak berani untuk berjumpa doktor disebabkan satu sebab. "Bukan sebab tak mampu bayar tetapi sebab malu, rendah diri dan bimbang dengan maklum balas orang apabila saya beritahu bahawa saya tiada kad pengenalan dan identiti warganegara," katanya kepada MalaysiaNow. Kini, Fatimah, 41, menyifatkan kehidupannya amat sukar apabila proses untuk mendapatkan kerakyatannya ditolak sebanyak dua kali tanpa alasan kukuh. Katanya, permohonan pertama dibuat pada 2002 di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan, kemudian pada 2017 di bawah Perkara 19. Pada 2018, Fatimah dipanggil ke sesi temuduga. Empat tahun kemudian, dia dimaklumkan gagal dalam permohonannya. Semuanya kerana Fatimah dilahirkan ketika ibunya masih belum menjadi warganegara. Tetapi tarikh kelahiran Fatimah pada bulan September 1983 hanyalah sehari sebelum dokumen ibu dikeluarkan. Di samping itu, permohonannya gagal kerana pasport Indonesia yang dimilikinya semasa permohonan pada 2002 dan ketiadaan permit masuk. "Ini yang menambahkan kekeliruan sedangkan saya dilahirkan di Malaysia, di Hospital Klang, mendapat pendidikan dari pra sekolah sehingga peringkat diploma di Malaysia," katanya sambil menegaskan pasport Indonesia di bawah namanya itu tidak pernah digunakan. Kedua-dua ibu bapanya dan semua adik-beradiknya sudah pun menjadi warganegara Malaysia. Dari umur 12 sampai 21, dia bergantung kepada kad pengenalan Pemaustatin Tetap berwarna merah. Selepas itu, dia memegang kad pengenalan MyKas berwarna hijau selama 15 tahun sehingga tamat tempoh pada 2019. Permohonannya untuk memperbaharui MyKas ditolak sebanyak tiga kali, kali terakhir pada 2020. Ini menjadikannya bukan sahaja tiada kerakyatan, tetapi juga tiada dokumen identiti. Fatimah berkata dirinya, seperti ramai yang lain tanpa kerakyatan, tidak dapat jalani kehidupan normal. Ini termasuklah mendapatkan lesen memandu, memiliki nombor telefon sendiri, akaun bank sendiri mahupun perniagaan sendiri. Sepanjang empat dekad, berpuluh-puluh pegawai kerajaan yang diemuinya untuk memperjuangkan nasibnya mendapatkan kad pengenalan dan status warganegara di tanah kelahirannya sendiri. Bukan itu sahaja, dia dan keluarga turut mengutus surat dan emel kepada pemimpin negara supaya membantu perjuangannya itu. Pada Ogos tahun lalu, dia menulis kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, merayu supaya janji Pakatan Harapan menyelesaikan masalah tersebut ditunaikan. Surat itu diserahkan sendiri oleh ibu dan adik-adiknya kepada Nurul Izzah, anak sulung Anwar, pada satu program kempen pilihan raya negeri di Pandamaran, Klang. Pada 21 Mac yang lalu, dia menghantar emel kepada pejabat PKR dengan harapan akan mendapatkan perhatian parti kerajaan itu. Kedua-dua surat tersebut sudah dilihat oleh MalaysiaNow. Ia susulan cubaan kerajaan baru-baru ini meminda perlembagaan menafikan kewarganegaraan automatik kepada mereka yang tanpa kerakyatan walaupun dilahirkan di dalam negara. Cadangan itu menerima bantahan keras aktivis yang membela golongan tanpa kerakyatan dan anak terdampar. Bagaimanapun, langkah kerajaan tidak meneruskan cadangan itu dikritik Perikatan Nasional, menjadikan Fatimah terkilan. Katanya, keperitan hidupnya sebagai individu tanpa kerakyatan tidak akan dirasai oleh ahli politik. Katanya, mereka yang mempunyai nasib sepertinya tidak boleh mengungkapkan perasaan dan penderitaan hidup melalui kata-kata. "Jadi kerana 'tidak akan faham' atau 'tak dapat rasa' itulah menyebabkan penindasan akan terus berlaku kepada individu-individu seperti saya. "Kesannya bukan pada diri dan kehidupan mereka. Kesannya hanya pada kami yang tiada apa-apa status ini. "Adakah mereka semua sedar saya bukan hidup hanya semasa pindaan yang hangat diketengahkan sekarang ini? "Saya sudah hidup dari zaman kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi, Najib Razak, Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri sehinggalah di bawah Anwar dan Malaysia Madani sekarang ini. "Selesaikah perjuangan saya?" soalnya, suaranya terkadang terputus menahan emosi. Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.



'Mari lihat sendiri': Aktivis bantu miskin bandar terkejut PM .. - 4/04 2:46 pm

# 'Mari lihat sendiri': Aktivis bantu miskin bandar terkejut PM dakwa 'sifar miskin tegar' di KL Lebih ramai berpusu-pusu mendapatkan bantuan pada tahun ini, kata pengasas sebuah kumpulan edar bantuan asas kepada golongan miskin dan gelandangan. Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Februari lalu memeranjatkan ramai pihak apabila berkata usaha membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sudah mencapai status 100%. Bagaimanapun, seorang aktivis yang kerap turun padang ..

membantu golongan miskin bandar menerusi makanan dan pelbagai barang keperluan lain mempersoalkan dakwaan itu. Mohd Azizan Zainal Abidin berkata dakwaan kerajaan sudah tiada golonngan miskin tegar di bandar raya Kuala Lumpur terbukti meleset sekiranya pemimpin menyaksikan sendiri bagaimana orang ramai berebut-rebut mendapatkan bantuan. Azizan, pengasas kumpulan sukarelawan Food For Gelandangan (FFG) berkata tahun ini bilangan mereka yang hadir mendapatkan bantuan meningkat lebih ramai berbanding 2023. Kata Azizan, pihaknya terpaksa membuat tapisan bagi memberi laluan kepada mereka yang benar-benar memerlukan disebabkan bantuan yang tidak memadai untuk semua. Azizan berkata situasi yang dihadapi miskin bandar tidak mencerminkan apa yang dibentangkan di Parlimen bagi menunjukkan kejayaan membasmi kemiskinan tegar. "Saya macam nak percaya pun entah," kata Azizan terkilan dengan dakwaan tiada miskin tegar di Kuala Lumpur. "Menteri cakap sudah basmi kemiskinan hampir 100%, apa yang sudah selesai?" katanya ketika ditemui MalaysiaNow sebaik sahaja program mingguannya di Chow Kit untuk membahagi-bahagikan bantuan kepada golongan gelandangan. "Yang saya bagi makan tadi tu apa? Selepas itu menteri kata 'kita sudah carikan mereka kerja'. Wow mudahnya!" Mereka termasuk Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri. "Jangan main-mainlah dalam buat kenyataan sebab kita sendiri buat kerja di bawah," tambah Azizan. Putrajaya sebelum ini berkata pembasmian kemiskinan tegar adalah agenda utamanya. Kenyataan Anwar sudah tidak ada lagi golongan miskin tegar di Kuala Lumpur merupakan pertama kali dakwaan sebegitu dibuat. Ini meskipun sebelum ini menyaksikan penurunan kadar kemiskinan tegar pada setiap tahun. Pada November lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kadar kemiskinan tegar turun kepada 0.2% membabitkan 18,445 isi rumah, berbanding 1% pada 2020, iaitu ketika negara berdepan pandemik Covid-19. Pada 2022, kerajaan ketika itu berkata bilangan miskin tegar telah berkurangan kepada 129,395 isi rumah, berbanding pada 2021 260,000, iaitu ketika kesan Covid-19 masih dirasai. Azizan berkata penguatkuasaan lemah adalah sebab mengapa masalah gelandangan tidak selesai sehingga hari ini. Katanya, masalah itu menjadi penyumbang kepada peningkatan golongan miskin bandar. Katanya, agensi yang bertanggungjawab perlu menyaring golongan ini supaya dapat membezakan gelandangan warga emas, pendatang asing dan penagih dadah. "Jadi yang tinggal adalah mereka yang sihat dan mereka inilah yang perlu diberikan latihan serta kemahiran. Baru boleh cakap gelandangan sifar, basmi kemiskinan pun 100%. "Apa yang 100% kalau miskin bandar sudah begini?" soalnya yang hadir di pusat khidmatnya pada setiap Jumaat. Azizan berkata kesempitan hidup dialamai miskin bandar lebih teruk dari miskin kampung. "Miskin bandar dapat bantuan RM700 dari Baitulmal untuk satu keluarga. Bilik yang dia sewa untuk satu anak beranak tanpa pecahan tempat dapur dan sebagainya itu, RM500.



Daripada tuntut mesyuarat tergempar MKN kepada kempen 'RM10', .. - 4/04 7:11 am

# Daripada tuntut mesyuarat tergempar MKN kepada kempen 'RM10', DAP pamer sokongan terbuka untuk KK Mart Pemimpin DAP dilihat tidak lagi mahu berdiam diri selepas Pemuda Umno teruskan isu KK Mart. Pemimpin Pakatan Harapan mula secara terbuka mempertahankan KK Mart, walaupun kontroversi stokin yang melanda rantaian kedai runcit itu dilihat beransur reda selepas pendirian PAS yang enggan menyertai kempen boikot dilancarkan Pemuda Umno. DAP paling ke depan dalam membela syarikat itu berikutan tiga ..

serangan ke atas cawangan KK Mart, yang dilihat ada kaitan dengan kemarahan terhadap penjualan stokin yang tertera perkataan "Allah". Parti berasaskan Cina yang selama ini cuba mengelak daripada konfrontasi terbuka dalam isu KK Mart itu mula bersikap lantang selepas Pemuda PKR melancarkan serangan ke atas Pemuda Umno, menuduh mereka "lempar batu sembunyi tangan" di sebalik "suhu api ketegangan" yang meningkat. Sejak beberapa hari kebelakangan ini, pemimpin DAP menuntut pelbagai tindakan, daripada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada pelancaran kempen solidariti untuk membantu KK Mart. Semalam, Pengerusi DAP Lim Guan Eng membidas Umno sambil menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memanggil mesyuarat tergempar MKN, dengan mengatakan kerajaan perlu "mengelakkan sebarang tindakan yang menyemarakkan lagi api kemarahan menjadi lebih berbahaya di luar kawalan". Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng turut sama menggesa campur tangan Putrajaya. "Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan ini dan memohon agar Kabinet mengambil tindakan serius untuk menghentikan kejadian serupa daripada berterusan." Siri kenyataan pemimpin utama DAP dalam mempertahankan KK Mart dilihat menguatkan persepsi bahawa parti itu tidak bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan perniagaan milik masyarakat Cina, yang menjadi penyokong setia parti itu pada setiap pilihan raya. Sementara itu, seorang pegawai kepada ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen menyeru orang ramai untuk menyokong KK Mart berikutan serangan Molotov ke atas sebuah cawangan di Kuching hujung minggu lalu. Dalam video yang dimuat naik di Facebook, Soo Tien Ren menyeru orang ramai membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 di kedai itu dan melancarkan kempen dalam talian dengan hashtag #lawanekstremis. Dalam reaksinya, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh mempersoalkan sikap memilih DAP dalam mempertahankan KK Mart sedangkan ia juga melancarkan boikot terhadap seorang selebriti Melayu susulan kli lagu Hari Raya yang menerima kecaman orang ramai. "Nak tanya pada geng-geng DAP juga terutama Anthony Loke Siew Fook," kata Akmal, merujuk setiausaha agung DAP. "Kita buat boikot pada Aliff Syukri juga apabila beliau keluarkan video lagu Raya yang tidak menjaga sensitiviti umat Islam. Jadi DAP takkan diam jer? Tak nak backup Aliff Syukti juga ke? Sementara itu, DAP turut menggunakan jurucakapnya yang beragama Islam, Sheikh Umar Bagharib Ali, dalam usaha menarik umat Islam untuk membantah Pemuda Umno menggunakan dalil. Umar bagaimanapun mengambil kesempatan itu untuk menyerang PAS walaupun parti itu tidak menyertai kempen Umno. Umar, yang merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, berkata Akmal tidak patut mencontohi Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang disifatkannya pelampau. "Atas nama 'mempertahan kesucian agama', tanpa disedari pendekatan beliau boleh membenihkan ekstrimisme. Ini bukan apa yang diajarkan oleh Islam.," kata Umar. Episod KK Mart mula mendapat perhatian selepas gambar stokin dengan perkataan "Allah" tular di media sosial, diikuti Akmal yang menuntut tindakan tegas terhadap pemilik rangkaian runcit itu. Pada 16 Mac, pengurusan tertinggi syarikat itu menyatakan rasa kesal sambil memohon maaf secara terbuka atas kecuaian mereka memeriksa stokin daripada pembekal. Selepas siasatan, pengasas KK Mart Chai Kee Kan, dan isterinya, yang juga pengarah syarikat, Loh Siew Mui, didakwa di bawah Kanun Keseksaan atas kesalahan menyinggung perasaan agama. Ia tidak menghalang Pemuda Umno untuk terus menggerakkan penyokong mereka dan mengadakan bantahan di hadapan kedai KK Mart dan menyeru boikot. Walaupun pemerhati melihat perkembangan itu sebagai taktik Umno memenangi semula sokongan Melayu-Islam yang hilang dalam siri kekalahan pilihan raya, kempen itu gagal mendapat sokongan kepimpinan PAS, yang dilihat penting dalam mengangkat isu-isu membabitkan umat Islam. "PAS tidak ambil pendekatan untuk boikot," kata Ahmad Yahya, ketua Dewan Ulamak Pas Pusat yang dilihat paling berpengaruh dalam parti itu. "Kalau melihat ucapan atau ulasan daripada pemimpin PAS, tiada seorang pun pemimpin kami yang minta memboikot KK Mart. "Cuma pimpinan PAS mahu tindakan tegas dikenakan kepada orang yang bertanggungjawab. Kalau sudah ada tindakan, saya yakin isu ini akan reda," katanya.



Markah merah untuk Rafizi selepas marah rakyat yang enggan daftar PADU .. - 3/04 2:48 pm

# Markah merah untuk Rafizi selepas marah rakyat yang enggan daftar PADU Menteri ekonomi dinasihatkan jangan bertindak sebagai ahli politik. Mereka berkata Rafizi perlu faham keraguan terhadap PADU tidak seharusnya ditafsirkan sebagai serangan terhadap kerajaan. "Menteri harus melayan orang ramai dengan lebih hormat. Orang ramai bukan bodoh. Mereka enggan mendaftar bukan kerana tidak menyokong kerajaan," kata Shafizan Mohamed, pensyarah komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa. "Mereka tidak ..

mendaftar kerana kamu (Rafizi) gagal beritahu mengapa mereka perlu mendaftar," katanya kepada MalaysiaNow. Rafizi baru-baru ini memuat naik klip pendek di laman media sosialnya, sebahagian daripada siri video promosi dengan menyelitkan pantun menggalakkan orang ramai mendaftar untuk PADU. Bagaimanapun, pada hari terakhir pendaftaran Ahad lalu, Rafizi berkata beliau sudah "penat" berpantun. "Hari ini tak da pantun. Suka koranglah, nak daftar, daftar. Tak nak daftar pun pandai-pandailah korang beraya," katanya, mencetuskan ratusan komen negatif. PADU dipromosikan sebagai pangkalan data yang menjadi teras pelaksanaan subsidi bersasar. Bagaimanapun, ramai melahirkan rasa kurang senang dengan kerahsiaan maklumat mereka dalam pangkalan tersebut, termasuk kerajaan Sarawak pimpinan GPS yang bertindak menangguhkan pendaftaran. Shafizan berkata setakat ini, penjelasan mengenai matlamat PADU oleh Kementerian Ekonomi bersifat "generik". "Daripada meminta rakyat mendaftar dengan PADU, mereka sepatutnya mewujudkan mekanisme yang jelas untuk subsidi yang disasarkan terlebih dahulu. Barulah kita tahu mengapa perlu daftar," katanya, dan menambah orang ramai tidak melihat faedah mendaftar pada pangkalan data. Pensyarah komunikasi UiTM Abd Aziz Azizam berkata sambutan hambar terhadap PADU menandakan kurangnya kepercayaan kepada kerajaan. Beliau mempersoalkan pendekatan "carrot-and-stick" oleh Rafizi dalam menggalakkan orang ramai mendaftar. "Ianya tidak akan memberikan jaminan apa-apa untuk orang awam bertambah yakin dengan kempen pendaftaran pangkalan data ini." Aziz berkata Rafizi harus lebih pragmatik dalam menyampaikan maklumat, dan tidak bersikap seperti ahli politik dalam mendepani kritikan. Sementara itu, Shafizan menasihatkan pemimpin PKR itu tenang dalam menghadapi kritikan berhubung privasi data, sambil menambah kebimbangan sedemikian adalah sah. "Ia bukan hanya mengenai sistem, tetapi bagaimana kerajaan menggunakan data ini. Nampaknya jawapan menteri terhadap kritikan sentiasa berbaur politik. Dia perlu menjawab seperti seorang menteri, bukan ahli politik. "Sama ada seseorang membuat keputusan untuk mendaftar atau tidak, ia melangkaui fahaman politik," katanya. Penganalisis politik Kartini Aboo Talib berkata, video terakhir Rafizi menunjukkan beliau sudah berputus asa. "Beliau perlu meningkatkan kempen dan tidak berputus asa," katanya kepada MalaysiaNow, sambil menambah kementerian perlu menguruskan kerisauan bahawa data yang dikumpul boleh digunakan untuk tujuan politik.



Kementerian Ekonomi kata T20 'mungkin layak' dapat subsidi, apa .. - 2/04 2:19 pm

# Kementerian Ekonomi kata T20 'mungkin layak' dapat subsidi, apa kata pakar ekonomi? Seorang pakar menggesa Putrajaya agar mengutamakan golongan rentan dalam pemberian subsidi sebelum menyalurkan bantuan kepada golongan berpendapatan tinggi yang mempunyai ramai tanggungan. Ia selepas Kementerian Ekonomi, dalam usaha menggalakkan pendaftaran orang ramai dalam Pangkalan Data Utama (PADU), berkata individu dalam kategori M40 dan T20 juga mungkin layak menerima subsidi selepas mengambil kira ..

perbelanjaan keluarga. Memberi contoh, kementerian itu berkata seorang dalam kategori T20 dengan pendapatan RM15,000 mungkin boleh dikategorikan sebagai M40 jika mempunyai lapan anak. Pakar ekonomi Anuwar Ali bagaimanapun mengingatkan tujuan sebenar subsidi bersasar diadakan ialah untuk memastikan bantuan disalur kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Beliau merujuk lebih dua juta pekerja Malaysia yang bergaji kurang RM2,000. "Kumpulan B40 ini ramai, termasuk miskin tegar yang mungkin terkeluar daripada sistem seperti Orang Asli atau penduduk pedalaman. "Kerajaan perlu sasarkan kumpulan ini dahulu, kumpulan T20 itu kemudianlah," kata Anuwar, yang merupakan ahli Majlis Perundingan Gaji Negara, kepada MalaysiaNow. Menurutnya, golongan T20 berkemungkinan mempunyai sumber kewangan lain untuk menampung kehidupan mereka, termasuk simpanan, dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang tinggi. Katanya, sekiranya T20 mendaftar di bawah PADU, kewangan mereka perlu diperincikan mengambil kira pelbagai faktor. "Misalnya adakah dia membeli rumah atau kereta yang terlalu mahal? "Kita kena tanya, apakah ukuran atau indikator yang kita boleh pakai kepada T20 sebelum mereka dikatakan layak menerima subsidi? Jika individu itu sudah terkeluar daripada indikator, kita kena tarik semula bantuan itu. "Kita tidak mahu orang-orang tertentu menyalahgunakan sistem. Perincian mesti kemas," kata Anuwar. Tahun lalu, subsidi pukal kerajaan untuk minyak, elektrik dan makanan memakan belanja RM81 bilion. Kerajaan kerap mendakwa rancangannya untuk beralih kepada subsidi bersasar akan memastikan hanya golongan miskin menerima bantuan dan bukan yang "maha kaya". Pemimpin kerajaan telah memuji PADU yang dipromosikan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebagai "game-changer" dalam mengenal pasti mereka yang layak mendapat bantuan dalam bentuk subsidi. Ketika melancarkan inisiatif itu awal tahun ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dengan adanya PADU, warga asing, golongan kaya serta yang berpendapatan tinggi tidak lagi akan menerima bantuan disebabkan mereka boleh dikenal pasti oleh sistem tersebut. Bagaimanapun, Rafizi dilihat bergelut dengan isu kredibiliti atas kebimbangan keselamatan data peribadi. Anuwar berkata satu kebimbangan dalam pelaksanaan subsidi bersasar ialah kumpulan berpendapatan rendah, atau B40, yang tidak dapat dijejak PADU. Menurutnya, Kementerian Ekonomi perlu menerbitkan angka peratusan miskin tegar yang berjaya didaftarkan dalam sistem bagi menunjukkan keadilan dan ketelusan. Pakar ekonomi Madeline Berma mengakui pemberian subsidi kepada golongan pertengahan dan berpendapatan tinggi sememangnya sensitif kerana bertentangan dengan "prinsip keadilan", memandangkan wang tersebut boleh disalur kepada lebih ramai individu miskin. Madeline bagaimanapun berkata semua faktor dan angkubah penting dalam menentukan kedudukan kewangan isi rumah dengan lebih tepat. "Subsidi bersasar adalah berasaskan prinsip keterancaman dan bukan penggunaan. Ia diharap lebih menyeluruh bagi memastikan ia disampaikan kepada golongan sasar dan tiada yang tercicir atau berlaku ketirisan dalam agihan subsidi," tambahnya. Sementara itu, penganalisis Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Razak berkata kebimbangan berhubung subsidi bersasar lebih tertumpu kepada golongan pertengahan. Katanya tidak ramai golongan T20 yang mempunyai banyak tanggungan sehingga mereka perlu mendapat subsidi. "Saya lebih risaukan golongan pertengahan kerana mereka adalah kumpulan rentan. Pendapatan mereka tinggi sedikit berbanding B40 tetapi tanggungan hidup mereka lebih besar. Jadi kerajaan wajar tumpu kepada golongan M40 ini," katanya.



'Pandai-pandailah beraya': Rafizi dibidas selepas video sindir .. - 1/04 5:13 pm

# 'Pandai-pandailah beraya': Rafizi dibidas selepas video sindir rakyat tak daftar PADU Akaun milik menteri ekonomi itu dibanjiri pelbagai kecaman oleh pengguna media sosial. Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sekali lagi menjadi sasaran kritikan orang ramai, kali ini berhubung sebuah klip videonya yang seolah-olah tidak menghiraukan kebimbangan awam mengenai keselamatan data peribadi dalam PADU, menjelang tarikh tamat pendaftaran untuk pangkalan data kerajaan itu semalam. Dalam video pendek yang ..

dimuat naik di beberapa platform media sosialnya pagi semalam, Rafizi sambil tersenyum berkata beliau "sudah penat" untuk berpantun seperti mana yang dibuatnya dalam beberapa video sebelum itu untuk menyeru orang ramai berdaftar dengan PADU. "Hari ini tak da pantun. Suka koranglah, nak daftar, daftar. Tak nak daftar pun pandai-pandailah korang beraya," katanya dengan nada sinis di sebalik pelbagai kritikan mengenai PADU. Pendaftaran PADU berakhir malam tadi, dengan Rafizi mendakwa lebih 10 juta orang mengemas kini rekod kewangan dan butiran peribadi mereka. Video Rafizi itu menerima kecaman di ruang komen akaunnya di Facebook dan Instagram. "Ini ke sikap seorang menteri dalam kerajaan Madani? Baik letak jawatan je," tulis pengguna Instagram ismailaidabinti. "Tak pernah lagi dengar seorang menteri halai balai cakap dekat rakyat. Kalau tak mau berkhidmat untuk rakyat letak jawatan ja... rakyat pun dah menyampah bro," komen seorang lagi pengguna azali_azizan. Sementara ievonnlution mengadu tidak dapat membuat pembetulan untuk butiran yang diisi. "Ini ke cara kerajaan nak manage something? Kalau tak ready, jangan announce dan release la. Duh." Beratus-ratus kritikan turut membanjiri ruang komen di Facebook milik Rafizi. "Ada 3 sebab saya tak isi. Yang pertama sebab saya tak yakin dengan pengurusan data PADU, yang kedua saya tak rasa saya akan dapat apa-apa manfaat subsidi. Yang ketiga saya nak tengok dulu apa jadi selepas ini," kata Khairunnisa Suboh. "Macam beli kereta, orang kata jangan beli 1st batch sebab kita tak tahu apa masalah model berkenaan." Pengguna Richard Wong pula mahu Rafizi menjawab beberapa kemusykilan, termasuk laporan yang orang ramai akan didaftarkan secara automatik sekiranya tidak melakukannya sendiri. "Kenapa kementerian tidak menyatakan lebih awal, yang tidak berdaftar akan didaftarkan secara automatik? " tulisnya. Semalam, Ketua Perangkawan Uzir Mahidin berkata PADU masih menyimpan data asas orang ramai termasuk mereka yang tidak mengemas kini maklumat yang sudah didaftarkan secara automatik. MalaysiaNow mendapati ramai yang mengaku tidak memberikan maklumat yang diminta ketika mengemaskini rekod mereka dalam PADU atas kebimbangan keselamatan data. Sebelum ini, kerajaan Sarawak pimpinan GPS antara yang paling lantang mempersoalkan keberkesanan PADU, di samping menyatakan rasa tidak puas hati mengenai butiran peribadi yang menurutnya tidak relevan. Rafizi dalam responsnya memberi jaminan PADU adalah selamat kerana dibangunkan secara dalaman menggunakan kepakaran penjawat awam, sambil menambah ia memenuhi piawaian antarabangsa dan amalan terbaik. Menurutnya, PADU juga tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi sementara peralatan komputer dilindungi di bawah Akta Jenayah Komputer, di samping hanya pegawai yang ditapis oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan dibenarkan akses. Bagaimanapun, ia tidak menghilangkan kebimbangan pelbagai pihak. Antaranya Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong, yang berkata Rafizi masih gagal meyakinkannya mengenai PADU. "Kalau sudah ada maklumat, kenapa nak ambil maklumat yang sama lagi daripada kita? Padu ini untuk apa sebenarnya? Nak kumpul apa lagi kalau mereka kata sudah ada maklumat dari kita?" presiden MCA itu memberitahu MalaysiaNow baru-baru ini.



Mengaku sahaja kesilapan, mufti Perlis beritahu Fadhlina dalam kontroversi .. - 1/04 5:13 pm

# Mengaku sahaja kesilapan, mufti Perlis beritahu Fadhlina dalam kontroversi 'kafir' Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan menteri pendidikan itu menimbulkan isu itu sedangkan umat Islam tidak menggunakannya dalam pergaulan harian. Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan keperluan seorang menteri kerajaan menyatakan rasa kurang senang dengan penggunaan label "kafir" sedangkan ia tidak menjadi isu di kalangan umat Islam di negara ini. Asri mengulas kontroversi yang menyelubungi ..

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek selepas tular video ucapannya di sebuah majlis di mana pemimpin PKR itu memberitahu beliau mengharamkan penggunaan istilah "kafir" di kalangan anak-anaknya. Dalam ucapan itu, Fadhlina berkata ini kerana memanggil rakyat bukan Islam di negara ini sebagai "kafir" adalah tidak wajar. Asri berkata ucapan Fadhlina itu tidak menjadi isu sekiranya pengharaman itu di sekolah atau di tempat awam, ataupun sekiranya anaknya suka memanggil orang bukan Muslim "kafir". "Namun, apabila disebutkan 'di rumah', maka amat pelik, apakah ada kecenderungan dalam keluarga memanggil sesama sendiri 'kafir'?!" Asri menjelaskan, umat Islam di Malaysia sememangnya tidak memanggil orang bukan Islam sebagai "kafir" dalam pergaulan harian mereka. Sebaliknya, istilah itu biasanya digunakan sebagai rujukan dalam perkara aqidah. "Tiada siapapun dalam negara ini menyuruh memanggil mereka yang berlainan agama 'hai kafir' ketika bergaul dan berdialog," kata Asri. Selepas menerima kritikan hebat, Fadhlina mendakwa beliau difitnah dan membuat laporan polis. Asri bagaimanapun menasihatkan Fadhlina supaya perbetulkan ucapannya. "Jangan sebut video tidak penuh, nanti masyarakat Muslim akan minta video penuh. Bimbang, banyak hal lain mungkin akan timbul. Beritahu sahaja, ada kesilapan dalam ucapan tersebut." Menurut Asri, dengan mengajak orang ramai berhenti mengunakan perkataan "kafir", ia memberikan persepsi tidak betul terhadap umat Islam. "Ia membohongi sikap baik yang sedia ditunjukkan oleh masyarakat Muslim, seakan orang muslim di Malaysia memilih panggilan yang tidak sesuai kepada masyarakat bukan Muslim ketika berinteraksi, padahal itu tidak berlaku." Asri berkata kemarahan terhadap ucapan Fadhlina adalah disebabkan beberapa kempen di peringkat antarabangsa yang cuba mengharamkan beberapa istilah yang digunakan dalam akidah Islam. Ini termasuk kalimah jihad dengan alasan ia berkait dengan keganasan, di samping konsep lain seperti kafir, syirik, murtad, dan keyakinan bahawa Islam agama yang benar. "Bayangkan jika video itu tidak dikritik. Sudah banyak bulan ia beredar, tiada jawapan sekalipun beberapa pihak telah membantah. Setelah desakan kuat, barulah ditimbulkan kononnya ada konteks yang tersendiri. Itupun sangat ganjil," kata Asri, yang mempertahankan hak umat Islam membantah ucapan Fadhlina "kerana ia boleh membawa maksud yang sangat salah". Asri berkata "amat menggusarkan" apabila seorang menteri yang mempunyai kuasa dalam lapangan pendidikan menimbulkan perkara itu. "Ada yang menyatakan video itu tidak lengkap. Jika benar dakwaan itu, maka, sila tunjukkan yang lengkap untuk rakyat faham. Dibimbangi jika yang lengkap ditunjukkan, banyak lagi hal lain yang muncul. Jawapan beliau dalam isu ini amat ganjil."



Bimbang keselamatan data, ramai enggan isi maklumat tepat dalam PADU Mac .. - 31/03 3:15 pm

# Bimbang keselamatan data, ramai enggan isi maklumat tepat dalam PADU Ia menimbulkan persoalan sama ada PADU berupaya memastikan subsidi sampai kepada mereka yang betul-betul memerlukan. Di sebalik krisis keyakinan yang dihadapi Kementerian Ekonomi dalam usaha menggalakkan orang ramai berdaftar dengan Pangkalan Data Utama (PADU), timbul persoalan sama ada lebih 9 juta yang dikatakan sudah mendaftarkan diri telah memberikan butiran yang tepat dan ikhlas. Ia berikutan beberapa individu yang ..

tampil mengakui mereka tidak memberikan maklumat tepat meskipun diberi amaran. Mereka memberitahu MalaysiaNow mengenai rasa berasa tidak yakin dengan pihak berkuasa berhubung keselamatan data, khususnya melibatkan butiran akaun bank dan maklumat peribadi lain. Antara butiran itu termasuk jumlah pinjaman atau hutang, jumlah tanggungan yang spesifik dalam rumah serta nombor telefon peribadi ketua isi rumah (KIR) dan ahli isi rumah (AIR). Syafiqah, 28, berkata dia tidak setuju ibunya memenuhi kehendak sistem tersebut untuk mendedahkan butiran kewangan dan pinjamannya. Syafiqah menceritakan bagaimana ibunya yang merupakan seorang guru tadika Kemas, meminta bantuannya untuk mengemaskini PADU. "Saya pertama kali membuka laman web tersebut dan mengisi maklumat seperti biasa, sehinggalah ke bahagian tertentu yang bertanyakan jenis-jenis pinjaman. "Ibu saya menulis segala butiran atas kertas untuk memudahkan kerja. Tetapi saya isi dengan menaip angka '0000' sahaja," Syafiqah memberitahu MalaysiaNow. "Saya tak pasti mengapa tiba-tiba diminta butiran seperti itu. Ibu saya hanya guru tadika Kemas yang akan bersara beberapa tahun lagi. Ini bahaya, jika data bocor, duit simpanan ibu boleh hilang," katanya. Syafiqah berkata dia hanya mengikuti apa yang dilakukan rakannya yang bekerja di sebuah firma audit swasta. Menurutnya, ruang untuk soalan wajib perlu diisi jika tidak borang menjadi "tidak lengkap". "Tapi kalau saya letak 0000, sistem terima sebagai jawapan ataupun kita dah isi bahagian wajib itu." Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menegaskan maklumat dalam pangkalan data itu akan dijadikan panduan oleh kerajaan dalam menentukan mereka yang layak menerima bantuan dan subsidi kerajaan. Syafiqah berkata dia mempunyai alasan kukuh di sebalik kebimbangan berkongsi maklumat seperti akaun bank, nombor kad pengenalan dan nombor telefon. Menurutnya, maklumat peribadi arwah ayahnya yang disimpan oleh sebuah syarikat kredit komuniti untuk membeli telefon bimbit secara ansuran pernah jatuh ke tangan pihak lain. Tahun lalu, mereka mendapati masih ada tunggakan 3 bulan, walaupun ayahnya meninggal dunia pada 2021. "Bila diperiksa, ada yang gunakan gambar MyKad ayah dan nombor kad bank untuk langgan penapis air pada tahun 2019." Kerisauan seperti yang diluahkan Syafiqah itulah yang menyebabkan kerajaan Sarawak bertindak menangguhkan kempen pendaftaran PADU bagi rakyat negeri itu. Menurut Sarawak, kebimbangan orang ramai terhadap kebocoran data ada asasnya, lebih-lebih lagi apabila PADU menuntut pelbagai butiran yang tidak relevan. Rafizi telah menolak segala kritikan mengenai keselamatan data dalam PADU. Sebaliknya beliau mengucapkan terima kasih kepada 10.6 juta yang telah mengemaskini butiran mereka sebelum tarikh tutup pendaftaran hari ini. Timbalan presiden PKR itu yang pernah mengasaskan Invoke, syarikat berkait PKR yang menerbitkan laporan sentimen politik rakyat menggunakan data, terus mempertahankan PADU dengan berkata ia selamat daripada sebarang bentuk serangan di samping privasi data yang dikawal ketat. Sebaik sahaja PADU dilancarkan awal tahun ini, kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty memberi amaran tentang risiko maklumat sensitif didedahkan tanpa memberikan peluang kepada orang ramai mengambil tindakan undang-undang. Ini kerana Rafizi berkata kerajaan tidak terikat dengan Akta Perlindungan Data Peribadi. Seperti Syafiqah, seorang pengawal keselamatan yang hanya dikenali sebagai Kak Mala, 45, juga mengemaskini butirannya dalam PADU tanpa memberikan maklumat lengkap mengenai kewangannya. Jika Syafiqah menaip "0000", Kak Mala pula cuma meletakkan "X" pada bahagian tertentu yang tidak ingin dikongsi. Bagaimanapun, Kak Mala berkata sistem tersebut tidak menerima kemaskini yang telah diisi. "Bila sampai bahagian pengakuan, tiba-tiba jadi masalah. Saya nak klik apa-apa pun tak boleh. "Jadi saya biarkan sahaja," katanya ketika dihubungi MalaysiaNow. Kak Mala berkata tidak semestinya golongan berpendapatan rendah sepertinya tidak wajar bimbang dengan pendedahan data peribadi kepada pihak ketiga. "Kalau dalam bank ada RM40 sahaja, RM40 pun boleh hilang," cuitnya. Kak Mala, yang pernah berdaftar untuk BR1M, skim bantuan tunai dimulakan bekas perdana menteri Najib Razak, berkata belum pernah berlaku kerajaan menuntut butiran yang "pelik-pelik" bagi menerima bantuan yang diperlukan. MalaysiaNow telah menghubungi Kementerian Economy untuk mendapatkan respons.



'Nak daftar apa lagi?' Wee bidas Rafizi gagal yakinkan rakyat .. - 30/03 3:52 pm

# 'Nak daftar apa lagi?' Wee bidas Rafizi gagal yakinkan rakyat mengenai PADU Presiden MCA itu antara beberapa ahli Parlimen blok kerajaan yang enggan berdaftar dengan pangkalan data baru itu. Kurang 48 jam pendaftaran ditutup, Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) terus berdepan defisit kepercayaan di kalangan rakyat di semua pihak, termasuk pemimpin dan ahli politik kerajaan sendiri yang selama ini bertungkus lumus memberi jaminan akan keselamatan maklumat peribadi orang ramai. Sehingga 28 Mac, ..

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli - orang yang giat mempromosikan sistem yang dikatakan menjadi rujukan bagi pemberian subsidi tersasar itu - mendakwa hampir 9.3 juta orang sudah berdaftar dengan PADU. Rafizi dilihat enggan mengakui kelemahan PADU dan kritikan pelbagai pihak, termasuk kerajaan Sarawak pimpinan GPS yang menangguhkan pendaftaran orang ramai atas kebimbangan keselamatan data peribadi. Pimpinan Sarawak bukan keseorangan dalam menyatakan rasa sangsi mereka terhadap PADU. MalaysiaNow mendapati ramai pemimpin blok kerajaan yang enggan mendaftarkan diri, walaupun sasaran kerajaan ialah supaya PADU memuatkan data segenap lapisan rakyat bagi memudahkan perancangan pemberian subsidi. Antaranya Presiden MCA Wee Ka Siong, yang berkata beliau tidak yakin dengan sistem tersebut atas kebimbangan mengenai privasi data. "Saya langsung tidak daftar, buat apa suruh ahli Parlimen daftar sedangkan gaji dia melebihi RM15,000 ke RM16,000?" Wee, yang mewakili kerusi Ayer Hitam, memberitahu MalaysiaNow. Wee berkata beliau tidak faham dengan kenyataan Kementerian Ekonomi yang setiap rakyat perlu berdaftar tidak kira status kewangan mereka. Kementerian yang diterajui Rafizi itu berkata golongan T20 juga mungkin layak mendapat subsidi dan oleh itu perlu berdaftar. "Tetapi andai kata keluarga tersebut mempunyai 8 orang anak, pendapatan isi rumah bersih mereka mungkin jatuh ke kumpulan M40 dan melayakkan mereka juga turut mendapat subsidi bersasar," menurut kenyataan di laman X kementerian itu. "Tak ada ahli Parlimen yang ada lapan orang anaklah dan melayakkan kita untuk dapat subsidi, itulah bodoh! Selepas itu suruh kita untuk daftar PADU. Untuk apa?" jawab Wee. Wee mempersoalkan rasional mengarahkan pegawai JUSA, atau Jawatan Utama Sektor Awam, yang berpendapatan tinggi, untuk turut berdaftar dengan PADU. "Gaji lebih RM100,000 dapat bantuan kah? Orang akan fikir pasti ada udang di sebalik batu," katanya. Soal Wee lagi, sekiranya PADU diyakini, mengapa Premier Sarawak Abang Johari Openg mahu menangguhkan pendaftaran? Kerajaan Sarawak berkata penangguhan pendaftaran PADU bertujuan melindungi data peribadi rakyat selari peruntukan dalam perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan. Wee kesal dengan kegagalan kerajaan menjelaskan jaminan keselamatan berhubung kerahsiaan data. Beliau mempersoalkan apa tujuan PADU sedangkan kerajaan mendakwa sudah ada maklumat individu. "Kalau sudah ada maklumat, kenapa nak ambil maklumat yang sama lagi daripada kita? Padu ini untuk apa sebenarnya? Nak kumpul apa lagi kalau mereka kata sudah ada maklumat dari kita?" Katanya, kepercayaan rakyat terus terhakis apabila Rafizi dilaporkan berkata golongan T20 juga mungkin layak mendapat subsidi. Pada 26 Mac, Rafizi tampil sekali lagi mempertahankan PADU, dengan berkata ia selamat daripada sebarang bentuk serangan di samping privasi data yang dikawal ketat. Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagaimanapun berkata menteri tersebut masih gagal memadamkan keraguan terhadap PADU. "Rafizi jangan ingat kerajaan negeri ini bodoh. Mereka pun ada penasihat IT masing-masing, jadi apa yang Rafizi jelaskan itu sememangnya tidak meyakinkan, beliau tidak meneliti sistem PADU dengan baik dan sepatutnya tidak buat pada waktu sekarang," kata ahli Parlimen Machang itu. Katanya kerajaan seolah-olah tergesa-gesa mahu melaksanakan rasionalisasi subsidi tetapi tidak cermat dalam mencapai matlamat itu. Fayhsal berkata penglibatan Rafizi dalam Invoke, syarikat berkait PKR yang menguruskan data, menyebabkan defisit keyakinan terhadap beliau. Sebelum ini, Invoke, yang menjalankan kaji selidik di kalangan pengundi, dikritik atas beberapa dapatan dan ramalan yang tidak tepat menjelang pilihan raya umum. Pada pilihan raya umum ke-14 yang diadakan pada 2018 misalnya, Rafizi meramalkan PAS akan kalah teruk, jangkaan yang terbukti meleset.



Gabungan hak asasi antarabangsa beri markah rendah kepada kerajaan Anwar .. - 29/03 3:56 pm

# Gabungan hak asasi antarabangsa beri markah rendah kepada kerajaan Anwar Civicus menyenaraikan siri pencabulan hak menerusi penggunaan pelbagai undang-undang zalim. Sebuah pakatan global kumpulan masyarakat sivil menyifatkan ruang demokrasi di Malaysia sebagai "terhalang", menyenaraikan beberapa tangkapan dan gangguan oleh pihak berkuasa dengan menggunakan pelbagai undang-undang drakonian, dalam kritikan terkini terhadap kerajaan campuran Anwar Ibrahim. Civicus, sebuah pakatan antarabangsa ..

yang mengumpulkan kesatuan sekerja, badan keagamaan, persatuan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan, berkata kerajaan Malaysia gagal mempertahankan hak asasi manusia di dalam negara. Ia memberikan contoh cubaan menutup pandangan berbeza yang dimuat naik dalam talian dan gangguan terhadap aktivis dan penunjuk perasaan aman. "Laman web dan blog berita yang mengkritik (kerajaan) disekat. Penunjuk perasaan aman terus diheret polis untuk disoal siasat di bawah Akta Perhimpunan Aman. Malaysia juga masih belum meratifikasi Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik," kata kumpulan itu, yang turut memperincikan siri pencabulan hak oleh kerajaan dalam laporannya. Ia susulan proses Tinjauan Periodik Universal mengenai situasi hak asasi manusia di Malaysia oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang turut dianggotai Malaysia, yang membuat 348 syor. Civicus berkata walaupun terdapat gesaan agar negara anggota menambah baik ruang demokrasi, pihak berkuasa di Malaysia telah bertindak menangkap penunjuk perasaan aman, memberikan contoh tangkapan di sebuah perhimpunan pro-Palestin dan perarakan wanita. Katanya, pihak berkuasa juga menyiasat pembuat filem dan lain-lain dengan mengenakan tindakan di bawah Akta Hasutan, di samping mengganggu mereka yang memuat naik komen dalam talian. Laporan itu menyatakan Akta Hasutan digunakan dalam 28 kes pada 2023, iaitu peningkatan 65% daripada 17 kes pada 2022. Kumpulan hak asasi manusia tempatan Suaram sebelum ini melaporkan 97 individu telah disiasat, ditangkap, didakwa atau disabitkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia berikutan komen dan siaran yang dibuat dalam talian. Mereka termasuk penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, bekas ahli Umno Zool Amali Hussin dan ahli akademik Teo Kok Seong yang menjadi sasaran selepas memberikan pandangannya mengenai sekolah jenis kebangsaan. Laporan Civicus ini diterbitkan tidak lama selepas satu lagi laporan yang membidas rekod hak asasi manusia kerajaan Malaysia. Awal bulan ini, Human Rights Watch memperincikan layanan terhadap pendatang dan pelarian yang ditahan di pusat tahanan yang disifatkan sebagai bahaya dan kotor, di mana mereka dinafikan keperluan asas dan kadangkala diseksa. Pakatan Harapan pimpinan Anwar, yang memimpin kerajaan campuran yang ditubuhkan bersama Barisan Nasional, telah dikritik kerana siri pusingan-U mengenai reformasi yang dijanjikan. Baru-baru ini, kerajaan dikecam pelbagai pihak kerana cubaan menafikan kerakyatan automatik kepada bayi terdampar dan anak tanpa kerakyatan, memaksa Kementerian Dalam Negeri menangguhkan pembentangan rang undang-undang mengenainya. Peguam yang pernah mengetuai protes Bersih menuntut reformasi institusi dengan sokongan pemimpin PH, berkata adalah "memalukan" gabungan itu kini memperkenalkan undang-undang regresif.



Video kritik kerajaan terus disekat, akaun dipadam Mac 28, 2024 10:32 pagi .. - 28/03 2:35 pm

# Video kritik kerajaan terus disekat, akaun dipadam Dasar Putrajaya di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim dilihat terus menyekat kebebasan bersuara dengan siri sekatan khususnya di platform TikTok. Kebebasan bersuara di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim terus dipersoal apabila pempengaruh media sosial yang tidak sehaluan dengan kerajaan mendapati akaun mereka kerap disekat atau dipadam. Tindakan itu dikenakan terhadap akaun beberapa pempengaruh kerana mengkritik dasar-dasar kerajaan. Na'im Brundage, ..

yang kerap memuatkan video pendek mempersoalkan dasar kerajaan, mendapati akaun TikToknya disekat buat kali ketiga pada 26 Mac lalu. Ulasan Na'im yang terakhir ialah kritikannya terhadap tindakan mengadakanmesyuarat PKR di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri. Akaun tersebut dimulakan tidak sampai sebulan, tetapi sudah mempunyai lebih 14,300 pengikut. Kali pertama akaunnya disekat ialah pada 20 Februari, menyebabkan beliau kehilangan 120,400 pengikut, selepas memuatnaik kritikan mengenai cara jawapan Anwar kepada wartawan yang bertanyakan soalan mengenai kejatuhan ringgit. Pada 9 Mac, akaun kedua dengan 35,000 pengikut pula disekat. Na'im berkata semua video yang dimuatkannya tidak pernah dilaporkan (flagged) atas sebarang pelanggaran komuniti. "Saya sudah hantar laporan ke pengurusan TikTok beberapa kali namun tidak mendapat sebarang penjelasan," katanya kepada MalaysiaNow. Secara kumulatif, video Na'im mendapat "likes" sebanyak dua juta kali. Na'im juga berkata dia tidak pernah menyentuh isu membabitkan kaum, agama dan istana (3R), iaitu alasan yang sering digunakan pemimpin kerajaan untuk mengambik tindakan terhadap pengkritiknya mahupun ahli politik pembangkang. Apa yang dihadapi Na'im semakin kerap berlaku terhadap puluhan rakyat Malaysia lain termasuk ahli politik, yang mendapati akaun TikTok mereka tiba-tiba terpadam. Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin pada 27 Februari lalu memberitahu Dewan Rakyat yang video TikToknya mengulas kejatuhan nilai ringgit telah dipadamkan. Begitu juga pempengaruh Ratu Naga yang kerap memuat naik video berupa sindiran terhadap pemimpin kerajaan, dan YB Viral yang terkenal dengan ulasannya yang memfokuskan pengurusan ekonomi kerajaan. Sehingga kini, tujuh akaun TikTok milik YB Viral dikenakan sekatan geo membabitkan 50 video. Sekatan geo bermakna video-video tidak boleh ditonton oleh pengguna di Malaysia melainkan dengan akses VPN. "Kami difahamkan, sekatan geo ini adalah kerana arahan kerajaan," kata YB Viral kepada MalaysiaNow. "Nasib baik, video-video saya dimuatnaik oleh akaun netizen-netizen lain," katanya. Menurutnya, siri sekatan dalam platform TikTok menyebabkan tontonan video di laman Facebook dan YouTube meningkat. Sehingga kini, kerajaan masih cuba menafikan ia terlibat dalam siri sekatan, sebaliknya berkata perkara itu adalah tindakan pengendali platform itu sendiri. Bagaimanapun, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengakui kerajaan memohon kepada pengendali platform seperti TikTok untuk menurunkan video menerusi aduan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malayia (SKMM), agensi di bawah kawalan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. Bagaimanapun, hanya platform TikTok milik syarikat China itu yang dilihat menurut kehendak SKMM. Sebaliknya, platform lain seperti X dan YouTube beberapa kali menolak permintaan kerajaan menurunkan kandungan sejajar dengan dasar kebebasan bersuara. Sejak memulakan tugas sebagai menteri yang bertanggungjawab hal media, Fahmi dikritik oleh kumpulan wartawan kanan kerana menyekat beberapa portal berita. Pada Jun tahun lalu, MalaysiaNow disekat selama 48 jam tanpa sebarang notis, mengundang kecaman pelbagai pihak. Sekatan juga dibuat ke atas portal TV Pertiwi dan Utusan TV. Tindakan itu mendapat perhatian Reporters Without Borders (RSF), pemantau media global yang menyediakan indeks kebebasan media di seluruh dunia setiap tahun. "RSF sangat bimbang dengan gelombang sekatan oleh pihak berkuasa Malaysia ini, tanpa sebarang penjelasan atau tindakan undang-undang, terhadap laman berita yang mengkritik kerajaan," kata Pengarah Biro Asia-Pasifik RSF Cedric Alviani pada September lalu. Bagi Na'im, tidak ada sebab munasabah untuk TikTok menyekat akaunnya selain mendapat tekanan daripada SKMM. Katanya, kerajaan gagal melawan naratif kritikal di media sosial. "Jalan paling mudah adalah untuk memadamkan platform-platform media sosial mereka. Secara tidak langsung ini bercanggah dengan hak kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," kata Na'im yang berikrar untuk terus memuat naik videonya.



Pindaan perlembagaan dibentang Putrajaya 'tidak .. - 27/03 3:49 pm

# Pindaan perlembagaan dibentang Putrajaya 'tidak berperlembagaan', kata peguam RUU untuk mengiktiraf kesaksamaan ibu Malaysia dalam hal kewarganegaraan anak didapati bercanggah dengan peruntukan perlembagaan mengenai kesaksamaan. Seorang peguam mengingatkan ahli Parlimen bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk memberikan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan oleh ibu Malaysia di luar negara adalah bercanggah dengan perlembagaan disebabkan klausa yang ..

menyatakan pindaan itu hanya terpakai kepada mereka yang dilahirkan selepas ia dikuat kuasakan. N Surendran berkata ahli Parlimen wajib menolak mana-mana undang-undang yang tidak berperlembagaan, sambil menambah ia boleh dilakukan sekiranya mereka bertindak mengikut hati nurani mereka. "Mereka tidak boleh membiarkan 'whip' parti Parlimen mereka untuk merampas pertimbangan mereka mengenai apa yang betul dan salah," Surendran, yang juga bekas ahli Parlimen dan kini sebahagian kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty. Beliau berkata RUU yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Isnin lepas melanggar Perkara 8, yang menyatakan bahawa "semua orang adalah sama di sisi undang-undang". Ia disebabkan Klausa 12 RUU itu undang menyatakan hanya kanak-kanak yang dilahirkan selepas pindaan berkuat kuasa akan dikurniakan kewarganegaraan Malaysia secara automatik. "Ribuan kanak-kanak yang sedia ada yang dilahirkan di luar negara kepada ibu-ibu Malaysia akan terus kekal tanpa kewarganegaraan. Mereka tidak akan mendapat sebarang faedah daripada pindaan baharu tersebut walaupun janji-janji berulang kerajaan bahawa pindaan tersebut dibuat untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang dihadapi mereka. "Tuntasnya, setelah semua janji-janji itu dibuat, mereka telah ditipu sekali lagi," kata Surendran. Beliau menyifatkan tindakan Putrajaya itu "kelihatan tercemar oleh kedurjaan tanpa motif", dan menambah kerajaan tidak rugi apa-apa sekiranya memberikan kanak-kanak sedia ada dalam pindaan baharu itu.



Benarkah ahli Parlimen PN lesu bawa isu rakyat? Mac 27, 2024 9:46 pagi Dua .. - 27/03 3:48 pm

Dua pandangan mengenai prestasi PN sebagai pembangkang selepas hampir menubuhkan kerajaan pada PRU lalu Walaupun melakar sejarah sebagai blok pembangkang terbesar ditambah dengan hampir semuanya Melayu-Islam, ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dilihat lesu dalam membawa isu rakyat yang boleh mencabar kerajaan dari dalam dan luar Dewan Rakyat. Beberapa penganalisis politik melihat PN tidak banyak bersuara dalam isu yang boleh mencalar imej Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan progresif, ..

di samping mampu memadamkan stereotaip pembangkang kononnya hanya mengutarakan isu Melayu dan Islam yang boleh membawa keuntungan politik. Contoh yang jelas adalah apabila kontroversi cubaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung kerakyatan, yang mencetuskan kritikan pedas daripada mereka yang selama ini menganggap kerajaan campuran dipimpin Anwar Ibrahim sebagai "lebih baik" daripada pembangkang yang "bersayap kanan". Pindaan itu, yang kini ditangguh susulan protes kumpulan hak asasi dan mangsa yang dinafikan kerakyatan, disifatkan zalim terhadap bayi terdampar dan anak-anak tanpa kerakyatan. Walaupun isu itu hangat diperdebatkan masyarakat sivil, lain ceritanya dengan blok pembangkang. "Di Parlimen, tiada wakil rakyat PN yang mampu menggarap isu-isu prolifik dalam perbahasan Parlimen," kata penganalisis politik, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia, ketika ditanya mengenai prestasi PN yang hampir membentuk kerajaan berikutan Parlimen tergantung pada pilihan raya umum yang lalu. Mazlan memberi contoh perdebatan Belanjawan 2024 tahun lalu. "Tiada idea-idea atau alternatif yang diberikan oleh pembangkang kepada kerajaan." Ini meskipun banyak isu yang menjadi hangat di media sosial, seperti kos sara hidup dan masalah bekalan beras yang masih belum menemui penyelesaian komprehensif walaupun diwujudkan kementerian khusus untuk keterjaminan makanan. PN mempunyai 74 ahli Parlimen, tetapi enam daripadanya berpaling tadah dengan menyatakan sokongan kepada Anwar. Mazlan berkata ia menunjukkan masalah dalaman yang melanda gabungan itu. Ini dirumitkan lagi dengan apa yang dilihat sebagai tindakan Anwar menghala senapang ke atas musuh politiknya melalui siasatan rasuah. "Ini berkemungkinan menyebabkan mereka kehilangan fokus." Antara pemimpin yang dituduh termasuk Presiden Bersatu dan pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang berdepan empat pertuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta. Manakala Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan pula dibicarakan kes rasuah dan penggubahan wang haram, dan Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris didakwa di atas tuduhan menghasut. Bagaimanapun, pemerhati politik Azizi Safar berpandangan majoriti wakil rakyat PN menunjukkan prestasi yang baik. Menurutnya, ia bagaimanapun tidak mendapat liputan media utama. "Ini menyebabkan PN nampak seperti tidak menjaguhi isu-isu rakyat yang panas pada masa ini," kata Azizi, yang merupakan bekas setiausaha eksekutif Barisan Nasional Pulau Pinang. Katanya, walaupun PN "lesu", kerajaan masih kelihatan "gelabah" disebabkan penyokong PH sendiri sudah mula menyuarakan kekecewaan terhadap gabungan itu. Ia berikutan siri tindak tanduk pentadbiran Anwar yang jelas melanggari janji reformasi, termasuk penggunaan akta drakonian, pelbagai sekatan yang dikenakan terhadap media, dan cukai-cukai yang samada baru diperkenalkan atau dinaikkan, seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan, Cukai Perkhidmatan Digital dan Cukai Barangan Mewah. Bagaimanapun, Azizi akur yang PN berada dalam zon selesa dengan sokongan Melayu yang masih menyebelahinya. "PN mungkin rasa selesa dan yakin majoriti sokongan orang-orang Melayu masih bersama mereka walaupun mereka tidak bersungguh-sungguh memainkan isu-isu rakyat pada masa ini. "Mungkin juga strategi PN untuk tidak memainkan isu-isu rakyat secara maksimum supaya tidak dilihat mengganggu gugat kestabilan politik."




News Buzz     >>



Najib tak beri arahan pada 1MDB pindah AS$1.03b kepada .. - Mgazette
Najib tak beri arahan pada 1MDB pindah AS$1.03b kepada syarikat Jho Low - Saksi ?? MalaysiaGazette
News Maker     >>



Malaysia ex-PM Mahathir under investigation, .. - Scmp
Malaysia ex-PM Mahathir under investigation, anti-corruption agency says ?? South China Morning Post
World     >>



China evacuates entire town as record rains, winds .. - Malaymail
China evacuates entire town as record rains, winds lash its south ?? Malay Mail Highest-level rainstorm warning issued in south China???s Guangdong ?? Al Jazeera English China floods: four killed in Guangdong sparking concerns over extreme weather defences ?? The Guardian Massive floods threaten ..
Business     >>



Pro-Palestine protesters forcibly removed from Emory .. - Fox5atlanta
Pro-Palestine protesters forcibly removed from Emory University campus, 28 arrested ?? FOX 5 Atlanta University of Southern California cancels its main commencement event, citing 'safety measures' ?? BBC Kennesaw State Students Protest for Palestine Education mdjonline.com ?? MDJOnline.com ..
Tech     >>



Fallout 4's free PS5 upgrade isn't currently free with .. - Eurogamer
Fallout 4's free PS5 upgrade isn't currently free with the PS Plus version ?? Eurogamer.net Fallout 4's 'next gen' update is over 14 gigs, breaks modded saves, and doesn't seem to change much at all ?? PC Gamer Fallout 4's Next-Gen Upgrade Is A Mess For PS Plus Owners ?? Kotaku Fallout 4 ..
Tech Hack     >>



Spain To Reopen Investigation Into Hacking of .. - Europeanconservati
Spain To Reopen Investigation Into Hacking of Premier's Phone ?? The European Conservative
Wireless Mobile     >>



Will HMD Surprise With A New Smartphone Launch This .. - NewsCom
Will HMD Surprise With A New Smartphone Launch This Week? ??? channelnews ?? ChannelNews
News Security     >>



Health conglomerate Kaiser notifies millions of a data .. - CNA
Health conglomerate Kaiser notifies millions of a data breach ?? CNA
Google Future     >>



Microsoft, Google drub quarterly earnings expectations .. - FMT
Microsoft, Google drub quarterly earnings expectations as AI drives revenue ?? Free Malaysia Today
Automotive Future     >>



University of Surrey launches self-driving cars safety .. - BBC
University of Surrey launches self-driving cars safety project ?? BBC.com